Friday, 8 May 2015

Kami ada rancang adakan ‘reunion’

  • Kami ada rancang adakan ‘reunion’
  • Kenangan Nurul dan Nova ketika di zaman persekolahan.

SHAH ALAM - “Kami ada rancang untuk adakan ‘reunion’ akhir tahun ini, namun ALLAH lebih menyayangi arwah," demikian luahan kawan karib Allahyarham Nova Safitri Azhari, Nurul Azwie Mira Azman, 27.

Nova bersama suami dan bayi perempuan mereka maut dalam kemalangan maut di Lebuhraya Duke Sabtu lalu.

Nurul berkata, beliau tidak menyangka pertemuan beliau ketika menghantar seorang kawannya ke lapangan terbang sebelum berangkat ke Jakarta merupakan pertemuan terakhir beliau dengan Allahyarham.

“Kami ada berjumpa, ketika itu kami ingin menghantar sahabat saya (Hasanah) ke Jakarta, untuk tujuan bekerja di sana.

“Waktu kami bertemu itu, dia ada cakap dia ingin berjumpa dengan semua kenalannya akhir tahun ini, sebab waktu kami bertemu ketika itu hanya melibatkan lima rakan sahaja,” kata Nurul kepada Sinar Online.


Nurul yang merupakan rakan sekolah Nova ketika bersekolah di Sekolah Menengah Teknik Slim River sesi 2004, 2005 berkata, Nova merupakan sahabat yang periang dan baik hati.

“Dia juga merupakan orang yang terkenal di sekolah,” katanya.

Berbicara lanjut, Nurul berkata, Nova tidak menunjukkan apa-apa perubahan sebelum dia kemalangan Sabtu lalu.

“Reaksi dia seperti biasa, riang dan gembira, tiada perubahan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nurul berharap mereka yang menjadi punca kepada kematian Nova dibawa kemuka pengadilan.

“Saya harap mereka yang berlumba itu tampil ke hadapan dan mengaku kesalahan mereka.

“Kasihanilah dekat anak Allahyarham yang masih kecil, tolong sangat-sangat supaya pembunuh itu dapat ditangkap dengan segera, “tegasnya.

Terdahulu, sepasang suami isteri dan bayi perempuan mereka berusia tujuh bulan maut dalam nahas kira-kira pukul 1.05 pagi Sabtu membabitkan tiga kenderaan di KM6.2 Lebuhraya Duke.

Pasangan itu ialah Fairuz Nizam Husain, 35, isterinya Nova dan bayi mereka Nur Firuza Annisa.

Pasangan suami isteri berkenaan meninggalkan dua orang anak, Nur Firuza Amira, 7 dan Nur Firuza Aqila, 4.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment