Generasi ketiga Audi TT sudah melangkah kaki ke pasaran Malaysia, kereta sport yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 1998. Sekarang, ia masih mengekalkan unsur ketangkasan dan rekaan yang jelas menggambarkan ciri dinamik coupe ini.
Audi TT baharu ini hadir hanya di dalam satu varian iaitu dengan enjin 4-silinder, 2.0-liter TFSI yang menghasilkan 230hp dan 370Nm (tork dari pada 1,600rpm hingga 4,300rpm). Pecutan 0-100km/j mengambil masa 5.9 saat sebelum mencecah kelajuan maksima 250km/j.
Pacuan roda hadapan disempurnakan oleh kotak gear 6-kelajuan S Tronic. Audi mendakwa kadar penggunaan petrol adalah 6.3 liter/100km.
Dilihat pada luarannya, model TT sekarang mempunyai bentuk yang lebih bersegi, namun masih dengan badan yang sesuai dengan imej rangginya. Berbanding dengan generasi pertama, ia sekarang mempunyai wheelbase yang lebih panjang, tetapi dengan jarak overhang depan dan belakang yang dipendekkan; bahkan nilainya sama dengan generasi pertama dahulu.
Mungkin ada tertanya kemampuan kereta ini dari sudut praktikalnya – ia mempunyai kapasiti 2+2 penumpang. Ruang but pula adalah 305 liter iaitu 13 liter lebih berbanding model sebelumnya. Ia juga boleh dibesarkan kepada saiz 712 liter apabila kerusi belakang dilipat.
Spoiler belakang naik dengan automatik apabila kelajuan kereta melepasi 120km/j dan turun semula apabila mencapai 80km/j. Spoiler ini juga salah satunya komponen penting yang dibuat daripada besi, yang lain adalah daripada aluminium mengikut teknologi Audi Spaceframe untuk mendapat berat kenderaan yang lebih ringan.
Yang paling mencuri perhatian adalah ciri yang hanya memanfaatkan pemandu sahaja, tetapi cukup canggih. Panel meter elektronik bukanlah sesuatu yang baharu, beberapa syarikat lain pun ada menggunakannya tetapi tidak pernah untuk keseluruhan ruang panel tersebut.
Kokpit maya Audi mengambil kesemua ruang di panel meter, menjadikannya sangat dinamik dari segi penyampaian maklumat. Peta arah sistem navigasi GPS juga boleh dipaparkan – dan dalam saiz besar, memenuhi skrin 12.3 inci – agar perhatian pemandu sentiasa kehadapan kereta dan bukan menoleh ke tengah papan pemuka, di mana skrin sistem navigasi selalunya terletak.
Skrin yang sama turut digunakan oleh MMI Radio dengan MMI Touch.
Selalunya corong penghawa dingin bukanlah satu komponen yang perlu diberi perhatian, tetapi di dalam Audi TT, kawalan penghawa dingin dibina sekali ke dalam corong ini. Bukan sahaja menjadikan papan kemuka lebih ringkas tetapi lebih intuitif kepada pemandu. Rekaan turbin enjin jet yang digunakan adalah satu ciri klasik untuk model ini.
Untuk keselamatan, Audi TT baharu ini dilengkapi ESC, kawalan cengkaman (ASR) dan electronic differential lock.
Audi TT generasi ke-3 ini dijual dengan harga RM284,900.
- Sumber: Astro Publication
No comments:
Post a Comment