Mr Os kini menerima rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur selepas melakukan pembedahan tonsil di Hospital Selayang pada Mac lalu.
KUALA LUMPUR: Pelawak yang dikenali ramai dengan panggilan Mr Os menjelaskan dia telah membawa diri ke Johor dan Perak untuk meredakan perasaan selepas penyebaran gambar dan berita palsu kononnya dia telah meninggal dunia baru-baru ini.
Walau bagaimanapun, menurut Mr Os, atau nama sebenarnya Mohd Yusof Abdul Hamid, 64, dia menerima berita palsu tersebut dari sudut positif dan sedia memaafkan individu yang menyebarkan berita kematiannya.
“Selepas saya buat kenyataan menafikan berita kematian saya kepada pihak media, saya terpaksa lari ke negeri Johor dan Perak untuk meredakan keadaan. Namun begitu, saya terima berita kematian saya dari sudut yang positif.
“Kalau waktu itu saya terima berita tersebut dari sudut negatif pasti akan buat saya bertambah down (sedih). Tetapi saya telahpun memaafkan individu yang tidak sengaja menyebarkan berita tersebut kepada umum,” jelas Mr Os kepada Astro Gempak sewaktu majlis pelancaran program Projek Komedi Warna.
Jelas Mr Os lagi, akibat penyebaran berita tersebut dia menerima ratusan panggilan telefon daripada pelbagai pihak yang mahukan pengesahan.
“Saya terima ratusan panggilan telefon yang terkejut dengan berita kematian tersebut. Ada juga radio tempatan yang membuat panggilan secara langsung minta saya sendiri beritahu pendengar yang saya masih hidup.
“Malah ada peminat yang kini berada di United Kingdom menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp mohon balas semula mesej yang dihantar kerana tidak berpuas hati dengan berita kematian saya. Ini yang saya katakan menyusahkan ramai pihak,” luahnya.
Mengulas lanjut mengenai kesihatannya, Mr Os kini menerima rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur selepas melakukan pembedahan tonsil di Hospital Selayang pada Mac lalu.
- Sumber: Astro Gempak
No comments:
Post a Comment