Thursday, 23 April 2015

Hello dengan Facebook


FACEBOOK memperkenalkan satu aplikasi baharu yang dikenali sebagai Hello yang menghubungkan panggilan dengan Facebook.

BERBILION panggilan dibuat setiap hari menerusi telefon mudah alih dan daripada berbilion panggilan itu hanya sedikit maklumat yang diketahui mengenai siapa yang menelefon anda. 

Memikirkan mengenai permasalahan itu membuatkan pasukan aplikasi Messenger daripada Facebook membuat satu aplikasi baharu yang dikenali sebagai Hello yang menghubungkan panggilan dengan Facebook. 

Apa yang menariknya mengenai aplikasi ini, anda boleh melihat siapa yang memanggil, menyekat panggilan yang tidak diingini dan mencari orang atau tempat. 

Caranya mudah saja, apabila anda mendapat panggilan, Hello akan menunjukkan maklumat mengenai siapa yang memanggil anda, walaupun anda tidak menyimpan nombor telefon siapa yang menelefon anda itu. 

Anda hanya akan melihat maklumat mereka yang telah berkongsi Facebook dengan anda. Dalam erti kata lain, mereka yang mempunyai akuan Facebook dan mendaftar nombor telefon mereka di dalam akuan Facebook boleh menggunakan aplikasi terbaru ini. 

Hello juga membolehkan pengguna mencari orang dan perniagaan di Facebook dan menelefon mereka dengan hanya satu sentuhan. Sebagai contoh jika rakan anda memberitahu mengenai restoran baru di kawasan kejiranan anda, anda boleh menggunakan Hello untuk mencari maklumat mengenai restoran ini termasuk waktu operasi mereka, membuat tempahan dan mendapatkan arah dan alamat.

Sementara fungsi lain Hello menjadikannya mudah untuk menyekat panggilan yang tidak diingini. Daripada tetapan Facebook anda, anda boleh menyekat nombor tertentu dan menyesuaikan sama ada anda mahu menyekatnya secara automatik atau secara manual. Panggilan yang disekat akan masuk ke dalam mel suara dan boleh didengar semula. 

Dengan Hello orang boleh melihat maklumat mereka secara terus selain mencari di Facebook. Pembangun juga telah membuatkan ia mudah untuk dikawal menggunakan tetapan di Facebook dan dalam aplikasi. 

Facebook menyatakan Hello kini dalam peringkat ujian untuk mendapatkan reaksi pengguna dan boleh dimuat turun aplikasi terbaru ini di Play Store.

Tetapi dari satu lagi sudut pandangan pemerhati teknologi, mereka menyatakan aplikasi Hello ini secara tidak langsung mendedahkan semua maklumat anda kepada orang yang tidak dikenali. Sebagai contoh anda boleh menelefon seseorang yang tidak dikenali dan melihat semua maklumat mereka. 

Ini mendedahkan anda kepada jenayah siber, kerana semua maklumat dapat diperoleh dengan hanya satu panggilan. Pertikaian ini sama seperti aplikasi Facebook Check In yang membolehkan anda memberitahu di mana kedudukan anda ketika itu dan perasaan anda ketika itu.

Apa pun aplikasi ini masih di peringkat ujian dan anda boleh memberikan pandangan serta penambahbaikan kepada Facebook.

FACEBOOK memperkenalkan satu aplikasi baharu yang dikenali sebagai Hello yang menghubungkan panggilan dengan Facebook.

FACEBOOK memperkenalkan satu aplikasi baharu yang dikenali sebagai Hello yang menghubungkan panggilan dengan Facebook.


- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment