PENYANYI Indonesia, Rossa bersama Afgan.
KUALA LUMPUR: Keakraban penyanyi tersohor Datuk Rossa dan Afgan mengundang kontroversi apabila timbul cerita mengatakan mereka menjalin hubungan cinta.
Rossa atau nama sebenarnya Rossa Roslaina Sri Handayani, 36, berkata, isu itu timbul mungkin kerana mereka mempunyai persahabatan yang rapat dan ada pihak yang tidak mengetahui hakikat itu.
"Apabila timbulnya cerita kami bercinta, saya rasa seperti kelakar juga kerana saya menganggap Afgan seperti adik saya kerana beliau jauh lebih muda daripada saya.
"Kami sudah mula rapat sejak lima tahun lalu, namun mungkin tidak semua pihak mengetahui hal itu yang menyebabkan timbulnya gosip ini. Saya adalah satu-satunya wanita dalam kumpulan kami yang terdiri daripada lima orang.
"Mereka yang juga orang dalam industri seni juga sering kali berkunjung ke rumah saya untuk melepak dan mengadakan barbeku bersama-sama," kata Rossa ketika ditemui pada majlis sidang media konsert Malam Keajaiban Cinta di Istana Budaya, di sini.
Penyanyi kelahiran Indonesia itu turut menjelaskan peminat Afgan yang kebanyakannya wanita juga maklum mengenai persahabatan mereka berdua.
"Saya pasti semua sedia maklum bahawa segolongan besar peminat Afgan terdiri daripada kaum wanita dan rata-rata mereka mengetahui kami sememangnya rapat dan tidak mempercayai kontroversi itu.
"Jika saya kembali bercinta pun, saya menginginkan lelaki yang lebih berusia daripada saya. Antara ciri lain yang saya mahukan adalah lelaki itu perlu lebih bijak, berakhlak dan lebih berwibawa daripada diri saya," katanya sambil tersenyum.
Mengulas mengenai konsert solonya berjudul Malam Keajaiban Cinta, Rossa melahirkan rasa terujanya kerana sudah lama menyimpan impian untuk membuat persembahan di Istana Budaya.
"Siapa yang tidak ingin membuat persembahan di Istana Budaya, kan? Saya sudah beberapa kali mengintai peluang dan saya bersyukur kerana diberikan rezeki untuk beraksi di Istana Budaya.
"Saya bakal tampil dengan penyanyi jemputan yang menimbulkan elemen kejutan kerana peminat tidak mungkin menyangka kemunculan mereka di konsert itu nanti.
"Jangka masa untuk membuat latihan juga antara cabaran yang perlu saya hadapi bagi memastikan semuanya berjalan lancar," kata Rossa mengakhiri perbualan.
- Sumber: BH Online
No comments:
Post a Comment