BACHOK - Seorang lelaki maut ditembak dalam kejadian samun di sebuah kedai peralatan binaan di Beris Lalang, kira-kira jam 5.45 petang, semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, ketika kejadian, mangsa, Mustafa Siddiq, 52, berada dalam premisnya bersama isteri, Norhaizan Mohd Zin, 45, dan anaknya, Ainul Wahida, 18, serta seorang pekerja mereka.

“Mustafa cedera di kiri perut dan lutut kanan. Mangsa bagaimanapun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital, kira-kira jam 7.40 malam. Anak mangsa juga ditembak di paha, kini dirawat di Hospital Universiti Kubang Kerian (HUSM).

“Suspek sudah dikenal pasti berdasarkan maklumat diberikan saksi. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Menurutnya, kerugian dianggarkan RM1,000 dan suspek dikatakan menggunakan kereta Proton Preve berwarna hitam dengan nombor pendaftaran CDC 4561.

"Dua suspek memiliki senjata api, sementara seorang lagi tidak bersenjata," katanya.

Sementara itu, Nor Haizan ketika ditemui di Unit Forensik HUSM mengakui masih terkejut dengan insiden menimpa suami dan anaknya itu.

“Kejadian berlaku sangat cepat. Saya boleh terima apa yang berlaku, cuma buat masa sekarang saya mahu bertenang dulu setelah apa yang saya  lalui hari ini (semalam),” katanya.

Manakala, saksi kejadian yang juga pekerja mangsa, Mohd Azrien Mohd Nasir, 28, berkata,  ketika kejadian, dia berada di dalam kedai tersebut bersama arwah, Nor Haizan dan Ainul Wahida.

“Kejadian berlaku dengan cepat, tidak sampai lima minit pun. Sebelum kejadian, sebuah kereta berwarna gelap berhenti depan kedai, mulanya saya ingat mereka mahu beli barang.

“Kemudian keluar tiga lelaki dari kereta tersebut dan mereka dengan pantas pakai topeng lalu masuk ke dalam kedai minta wang,” katanya.

Menceritakan detik ngeri itu, Mohd Azrien memberitahu, salah seorang lelaki tersebut mengacukan pistol ke arahnya dan menyuruh dia dan isteri majikannya diam.

“Kerana takut diacukan pistol, saya mendiamkan diri, kemudian salah seorang daripada lelaki tersebut gari tangan saya dengan isteri majikan saya.

“Dalam keadaan kelam kabut, isteri majikan cuba tanggalkan topeng dipakai lelaki terbabit. Dia marah kami gunakan dialek tempatan,” katanya.

Ketika itulah, Mohd Azrien berkata, dia mendengar dua das tembakan dilepaskan yang terkena majikan dan juga anak perempuannya.

“Mereka larikan diri selepas minta kunci kereta majikan. Selepas itu, saya bantu hantar majikan ke Klinik Gunong,” katanya.


- Sumber: Sinar Harian