Majikan dan pekerja berjaya meletakkan sebahagian telur berdiri di premis perniagaan telur SPSB.
Telur berdiri dianggap sebagai fenomena menarik bagi masyarakat Cina.
PASIR PUTEH - Semalam merupakan Hari Telur Berdiri atau Lup Choon dalam kalendar Cina, yang mana tepat jam 12 tengah hari, telur boleh diletakkan berdiri untuk beberapa ketika.
Telur berdiri adalah fenomena alam biasa seperti mana fenomena lain seperti laut pasang besar (Fullmoon) dan fenomena Halo (lingkaran cahaya seakan-akan pelangi mengelilingi matahari atau bulan walaupun ia sering dikaitkan dengan mitos tertentu.
Fenomena air laut pasang besar dikenali juga sebagai Perigee berlaku ketika bulan purnama apabila bumi menghampiri bulan yang menyebabkan graviti bulan menarik paras air laut sebelum surut semula kerana bumi berpusing sementara fenomena Halo pula disebut sebagai fenomena optik yang mana ia berlaku akibat biasan daripada kristal air atau ais dalam awan sirus.
Hanya kerana ia jarang dibincangkan, fenomena telur berdiri yang dikatakan berlaku semasa tempoh Ekuinoks iaitu kedudukan matahari, bulan dan matahari berada pada sudut paksi selari masih kekal sebagai misteri.
Apatah lagi dalam kehidupan moden hari ini, masyarakat Cina sendiri ramai yang tidak memberi perhatian serius kepada fenomena itu walaupun sesetengah dari mereka menganggap keupayaan meletakkan telur berdiri membawa keuntungan.
Segelintir pula mengatakan ia tiada kaitan dengan kedudukan bulan dan matahari, sebaliknya telur boleh diletakkan berdiri pada bila-bila masa sahaja ketika berlaku tarikan graviti.
Penduduk setempat, Chan Loe Yee, 70, berkata, hari itu dinamakan juga sebagai Tuan Uoo Zet dan merupakan hari yang dinanti-nantikan bagi mereka yang mengetahui keistimewaannya.
Katanya, kaum Cina pada masa lampau meraikan kedatangan hari tersebut bersama keluarga dan rakan-rakan dengan menjamu kuih ‘Chang’ yang dibungkus seakan-akan ketupat.
“Di premis perniagaan telur syarikat SPSB di bandar ini, pekerja syarikat berjaya meletakan hampir 100 telur secara berdiri setiap tahun dan ia menjadi acara tahunan yang agak berbeza dan santai sehingga menarik perhatian pelanggan.
“Ini bukti masih terdapat generasi kaum Cina yang memberi tumpuan fenomena aneh dalam kalendar mereka dan sekalipun ia kekal sebagai misteri, ia sekurang-kurangnya mengajak kita untuk berfikir mengenai keunikan alam,” katanya.
Menurutnya, sehingga ke hari ini, tidak ada perincian yang jelas daripada ilmuan dunia mengenai fenomena tersebut tetapi katanya, ia menganggap logiknya berdasarkan fenomena laut pasang besar yang mana kedua-duanya berlaku kerana graviti.
Apa yang nyata katanya, masyarakat Cina sinonim dengan bulan sehingga menjelang Tahun Baharu Cina, mereka menyediakan makanan istimewa yang dikenali sebagai kuih bulan.
“Ada hari di mana suatu ketika masyarakat Cina mengamalkan tradisi duduk dan memerhatikan bulan mungkin kerana bulan mempunyai kaitan rapat dengan kejadian di bumi, mungkin juga dengan melihat bulan masyarakat masa itu mendapat petanda mengenai sesuatu yang berlaku di bumi,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Abdul Gahani Muhammad, 58, berkata, dia langsung tidak mengetahui tentang telur berdiri dan Halo tetapi sudah biasa dengan fenomena laut pasang besar.
Katanya, dahulu penduduk terlibat tidak mengetahui punca sebenar kejadian laut pasang besar tetapi pernah mengalaminya sehingga terpaksa meninggalkan kawasan pantai.
“Saya tak tahu ia berlaku kerana graviti ke apa, yang pakcik tahu air laut pasang besar berbanding waktu biasa, bezanya sekarang sebelum berlaku sudah ada pihak memaklumkannya.
“Sebenarnya apa sahaja yang berlaku merupakan fenomena termasuk hujan juga tetapi kerana hujan berlaku terlalu kerap maka kita menganggapnya sebagai perkara biasa, ia tetap menakjubkan bagi mereka yang memikirkannya.
“Semua itu menunjukkan kebesaran ALLAH SWT yang menciptakan alam ini, fenomena-fenomena alam itu hanya sebahagian kecil yang kita sedari dan yang penting kita bersyukur kerana diberi peluang menikmati alam yang hebat ini, “ katanya.
- Sumber: Sinar Harian | Januari 5, 2015
No comments:
Post a Comment