Friday, 6 February 2015

‘Kenapa bom kapal kami, pak?’

Jokowi disambut penuh mesra oleh Najib semasa tiba di negara ini, semalam. Malaysia merupakan destinasi pertama bagi lawatan Jokowi sebagai presiden baharu Indonesia.

SEPANG - Melangkah turun dari pesawat rasminya, tepat jam 3.55 petang semalam, Presiden Indonesia, Joko Widodo tidak lekang dengan senyuman sewaktu tiba di Malaysia.

Pemimpin tinggi lampai itu yang diiringi isterinya, Iriana Joko Widodo, kelihatan begitu merendah diri, bersalaman dan tertunduk-tunduk hormat semasa disambut meriah di Kompleks Bunga Raya, Sepang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri Kabinet dan wakil negara luar yang menunggunya di sepanjang permaidani merah.

Memakai sut berwarna hitam, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi diiringi pasukan pengawal peribadinya yang memakai kemeja batik, iaitu antara perubahan pertama dilakukannya sejurus dipilih sebagai presiden untuk menghasilkan suasana lebih santai.

Memilih Malaysia sebagai negara pertama yang dilawatinya selepas mengangkat sumpah sebagai presiden pada Oktober lalu, Jokowi membawa bersama pelbagai isu rumit dan sensitif antara kedua-dua negara untuk dibincangkan.

“Antara isu utama yang mungkin terheret dalam dialog antara dua pemimpin itu ialah mengenai dasar Indonesia untuk mengebom kapal nelayan (negara luar, termasuk dari Malaysia) yang menceroboh perairan negara itu,” menurut pakar hubungan antarabangsa Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Mohamad Abu Bakar.

Indonesia pada 8 Januari lalu mengebom sebuah kapal nelayan berdaftar di Malaysia yang didakwa melakukan aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan negara itu, menurut laporan The Jakarta Post.

Disember lalu pula, Indonesia mengebom dan mengaramkan tiga bot nelayan Vietnam atas sebab sama.

Tindakan tegas itu diambil susulan arahan Jokowi untuk mengekang pencerobohan perairan negara itu yang didakwanya menyebabkan kerugian mencecah puluhan bilion ringgit kepada Indonesia.

Selain itu, Mohamad berkata, masalah perebutan kawasan di Laut China Selatan antara beberapa negara termasuk China yang rancak diperkatakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini juga dijangka menjadi topik perbincangan antara Najib dan Jokowi.
Malaysia penting bagi Indonesia

Namun, Mohamad berpendapat perbincangan lebih mendalam akan dibuat mengenai fokus utama Malaysia sebagai Pengerusi Asean tahun ini untuk merakyatkan blok ekonomi dan politik itu supaya lebih difahami penduduk di 10 negara anggotanya.

“Malaysia mungkin akan dapatkan sokongan Jokowi dalam usaha merakyatkan Asean yang sebelum ini dilihat hanya lebih difahami golongan elit,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pemilihan Malaysia sebagai negara pertama dilawati Jokowi menunjukkan kepentingan negara ini kepada Indonesia dari segi budaya dan politik.

Najib sebelum ini menjadi pemimpin kedua selepas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang melawat Jokowi di Istana Presiden pada hari pertabalannya sebagai Presiden Indonesia pada 20 Oktober lalu.

“Memang sejak pemulihan hubungan diplomasi antara kedua-dua negara, selepas konfrontasi Indonesia pada 1960-an, pemimpin Malaysia dan Indonesia sering kunjung-mengunjungi.

“Walau apa pun ketegangan yang berlaku (selepas itu), pemimpin kedua-dua negara sentiasa mencari penyelesaian,” kata Mohamad mengulas hubungan baik yang sedia terjalin antara Malaysia dan Indonesia.

Mohamad juga berkata, Indonesia perlu mengukuhkan kedudukannya di Asean supaya blok itu yang akan melancarkan Komuniti Ekonomi Asean pada tahun ini menjadi lebih bermakna sebagai blok politik yang kuat.

“Indonesia merupakan negara besar, rakyatnya ramai, kedudukannya amat strategik dengan sumber alam yang banyak. Bagi kuasa Barat, Indonesia adalah negara yang sangat penting.

“Tetapi pendekatan Indonesia sejak akhir-akhir ini tidak sama dengan kedudukannya yang sangat penting itu. Ini perlu diperkukuhkan,” katanya.

Jangan cepat melatah dengan dasar Jokowi

Prof Dr Mohd Kamarulnizam Abdullah dari Fakulti Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia pula menjangka Najib dan Jokowi berbincang masalah dua hala termasuk pertindihan kawasan perairan yang membawa kepada pengeboman kapal nelayan Malaysia oleh Indonesia.

“Masalah itu (pencerobohan perairan) berlaku kerana masing-masing mendakwa kawasan itu adalah kawasan mereka. Isu sempadan bertindih memang banyak, jadi saya rasa itu antara yang akan dibincangkan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kedua-dua pemimpin itu juga dijangka membincangkan isu pekerja asing termasuk pembantu rumah dari Indonesia.

Mengulas kerjasama baharu yang boleh dilakukan Malaysia dan Indonesia bagi menangani ancaman kumpulan militan seperti Negara Islam, Mohd Kamarulnizam berkata kerjasama antara kedua-dua negara kini sudah mencukupi.

“Pertukaran maklumat risikan, kerjasama baik antara polis di dua negara sudah kukuh untuk menghadapi ancaman militan di rantau ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Kamarulnizam berkata, cara Jokowi yang lebih lantang dalam menyuarakan pendapat atau menguatkuasakan polisi yang tegas tidak harus disalah erti oleh pemimpin dan rakyat Malaysia.

“Jokowi adalah presiden yang populis, jadi kadang-kadang dia mungkin kritik (Malaysia) dengan cara yang kelihatan berlebihan.

“Kita jangan cepat melatah sebab kritikan beliau itu lebih untuk audiens di negaranya, kita perlu lihat dari sudut itu,” katanya.

Kilang Proton antara lokasi lawatan Jokowi

Selain itu, Najib dan Jokowi juga dijangka membincangkan isu ekonomi dan perdagangan antara kedua negara.

Duta Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno dalam satu wawancara dengan Bernama baru-baru ini berkata, pengalaman dan kebijaksanaan Jokowi dalam perniagaan akan memberikan manfaat kepada beliau dalam mengukuhkan hubungan perdagangan antara Malaysia dan Indonesia.

Sebelum menjadi Datuk Bandar Solo pada 2005 dan kemudian Gabenor Jakarta pada 2012, Jokowi memiliki perniagaan perabot yang berjaya sejak 1980-an.

Sementara itu, Najib dalam Facebooknya petang semalam berkongsi gambar beliau menyambut pemimpin negara jiran itu.

"Selamat datang ke Malaysia, Presiden Joko Widodo...saya percaya kunjungan ini akan mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia," kata Najib yang menggelar Jokowi sebagai 'rakan saya'.

Selepas membuat pemeriksaan kawalan kehormat semasa upacara sambutan negara yang diberikan kepadanya sejurus tiba di Kompleks Bunga Raya semalam, Jokowi memulakan lawatan rasmi tiga harinya dengan menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku

Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah serta menghadiri jamuan negara di Istana Negara, malam tadi.

Beliau akan bertemu Najib di Pejabat Perdana Menteri, pagi ini di mana kedua-dua pemimpin akan mengadakan mesyuarat.

Jokowi dan isterinya kemudian akan ke kediaman rasmi Perdana Menteri untuk makan tengah hari sebelum beliau menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra, Putrajaya.

Tetamu kehormat itu juga dijangka melawat kilang Proton di Shah Alam sebelum menghadiri program tertutup bersama Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor pada sebelah malam.

Jokowi dan rombongannya dijadual meninggalkan Malaysia awal pagi esok dan terus ke Brunei bagi menyambung siri lawatan luar negaranya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment