Monday, 23 February 2015

Isu popia: Chef Wan selar golongan demonstrasi sebagai cetek akal

Chef Wan: 'Tidak ada isu lain ke nak cari pasal?' -Gambar fail

KUALA LUMPUR: Chef popular Datuk Redzuan Ismail atau Chef Wan menyelar golongan demonstrasi yang mendakwa popia bukan makanan warisan Malaysia sebagai cetek akal dan tidak pernah ke luar negara.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Instagramnya (@chefwan58) pada Ahad, beliau turut berkata beberapa negara lain juga mempunyai versi popia mereka sendiri.

“Dari negara China ke Filipina yang mereka panggil lumpia sehingga ke Mexico yang diberi nama Chimicanga dan macam-macam lagi.

“Ideanya sama iaitu makanan yang digulung lalu digoreng. Di Thailand dan Vietnam juga mempunyai versi popia mereka. Tidak pula mereka menyalak ke negara asing seperti apa yang Indonesia buat,” katanya.

Beliau turut berkata tidak perlu membuang masa melayan golongan demonstrasi dan rezeki itu datang dari Allah.

“Allah turunkan makanan yang enak-enak supaya kita menjamu selera bergembira dan bersahabat dan bukan suruh berperang,” kata Chef Wan.

Kenyataan Chef Wan yang dimuat naik di Instagram. Gambar: Instagram/@chefwan58

Pada Jumaat, Kumpulan aktivis budaya yang dikenali sebagai Forum Masyarakat Peduli Budaya Indonesia (Formasbudi), mendakwa popia atau lumpia merupakan makanan khusus dari Semarang.

“Formasbudi mengambil langkah ini supaya nanti popiah Semarang tidak didakwa sebagai milik negara Malaysia.

"Pada 17 Oktober 2014, Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan telah menetapkan Lumpia Semarang sebagai warisan budaya nasional bukan benda,” ujar Penyelaras Formasbudi, Rahmulyo Adiwibowo.

Tambahnya, Pejabat Kebudayaan dan Pariwisata Provinsi Jawa Tengah juga akan mengusulkan ke UNESCO agar Lumpia Semarang diiktiraf sebagai warisan budaya dunia yang berasal dari Indonesia.

Dalam demonstrasi tersebut, lumpia dikatakan telah diasaskan oleh Tjoa Thay Joe, seorang lelaki keturunan Cina yang menetap di Semarang, yang kemudian menikah dengan wanita pribumi bernama Mbok Wasi pada tahun 1870 lalu. 

- Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment