Monday, 23 February 2015

Bakal akhiri zaman bujang, Siti Elizad pilih duda


SUATU ketika dahulu, kehadiran pelakon ini sering mendapat perhatian ramai. Namun bukan kerana kontroversi sebaliknya kerana keberkesanan lakonan yang diberikan dalam filem atau drama.

Namun ketika dia bersaing berada di puncak, nama Siti Elizad Mohd Sharifudin atau lebih dikenali dengan Elizad Sharifudin mula menghilang perlahan-lahan.

Bagaimanapun kehilangan wanita yang kini berusia 31 tahun ini bukan atas masalah disiplin atau tiada limpahan publisiti, tetapi kerana satu tanggungjawab.

Tanggungjawab menjaga ibunya, Nazariah Mohd Salleh, 62, akibat mengidap Parkinson selama lima tahun sehinggalah insan yang cukup disayanginya itu menemui Ilahi pada April 2011.

Kerana tanggungjawab sebagai satu-satunya puteri tunggal dalam keluarga, Elizad meletak ke tepi rasa rindu terhadap bidang lakonan, biarpun pada mulanya jiwanya penuh memberontak.

Dek kerana memberi tumpuan menjaga ibu yang sakit, percintaan yang terjalin lebih 10 tahun dengan seorang jejaka berakhir begitu sahaja.

Namun tidak mahu menyalahkan takdir, pelakon yang cukup dikenali menerusi filem Berlari Ke Langit dan Gangster ini berkata, dia kini sudah bangkit sepenuhnya dan sudah pun menemui pengganti.

Akui Elizad, dia bakal mengakhiri zaman bujangnya pada tahun ini dengan seorang duda yang juga merupakan salah seorang pekerja di syarikat permotoran Harley Davidson.

"Insya-ALLAH saya akan mendirikan rumah tangga pada tahun ini. Kalau ikutkan ia sepatutnya berlangsung April ini, tetapi kerana jadual kerja saya yang padat, ia ditunda ke satu tarikh lain.

"Saya serahkan segala pada keluarga dan Alhamdulillah keluarga terutamanya kakak ipar banyak membantu dari segi persiapan. Tapi buat masa ini belum ada sebarang persiapan di buat kerana tarikh pun belum ada lagi.

"Apa pun fokus saya kini lebih kepada kerja dan saya memang suka bekerja (berlakon)," katanya yang ditemui selepas tayangan filem terbarunya, Coverina di GSC NU Sentral.

Elizad berkata, dia bersyukur kerana mendapat pasangan yang cukup memahami dan tidak pernah menghalangnya untuk berlakon sekiranya mereka sudah berkahwin kelak.

“Dia jenis yang tak mengganggu kerja saya. Umur dia sudah 43 tahun dan matang. Kalau sudah berkahwin pun dia tak menghalang untuk saya meneruskan kerjaya lakonan saya ini. Paling penting dia memang tahu saya suka berlakon,” katanya.

Berkongsi detik perkenalan dengan lelaki yang sudah memiliki dua anak ini, Elizad berkata, dia sudah lama mengenali lelaki tersebut sebagai rakan abangnya.

“Abang kenalkan saya dengan dia dan dia sendiri pernah berkawan dengan abang. Dia ada anak dua orang, tapi sekarang dia dah bujang.

"Apa yang membuatkan saya senang dengan dia, dia tak kacau kerja saya dan cukup memahami. Paling penting bila berkawan dengan lelaki berusia ini, dia tidak datangkan masalah pada saya. Senang cerita cukup susah kami bergaduh walaupun saya jenis senang merajuk," katanya.

Populariti bukan keutamaan

Berkongsi perkembangan terkininya, Elizad berkata, dia bakal memasuki set penggambaran sebuah lagi drama untuk siaran slot Akasia, TV3, terbitan Pena Creative.

Dalam masa sama, drama lakonannya, Teman Lelaki Upahan di slot Akasia, TV3, yang memperlihatkan dia membawakan watak utama sebagai Lydia, sedang ditayangkan di TV3.

"Alhamdulillah, sejak kembali aktif, ada sahaja tawaran yang saya terima, terutamanya daripada TV3. Selepas arwah ibu meninggal, jalan saya di dalam bidang seni seolah-olah dipermudahkan. Walaupun jiwa saya pernah memberontak suatu ketika dahulu, tapi kini saya rasa lebih tenang.

"Malah lakonan saya dalam Teman Lelaki Upahan juga mendapat perhatian dan ramai yang sudah perasaan tentang kehadiran saya semula di dalam bidang seni," katanya.

Biarpun industri kini tidak pernah sunyi dengan kehadiran pelakon baru, Elizad berkata, dia tidak sedikit pun berasa takut atau bimbang, kerana dia percaya setiap pelakon ada keistimewaan.

"Bila saya buat comeback sejak dua tahun lalu, memang ramai yang tanya adakah saya tidak bimbang dengan saingan pelakon baru? Jawapan saya tidak, kerana katakanlah diberikan watak perempuan gila, kalau ada tujuh pelakon termasuk saya, saya percaya kami semua tidak memberikan gaya lakonan yang sama.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment