Apple pada hari ini telah pun sedia menawarkan OS X dalam bentuk beta terbuka yang membolehkan sejumlah pengguna menyertainya dan menikmati pelbagai kemaskini terlebih dahulu, serta mengujinya sebelum ia ditawarkan kepada umum. Kini, program sama turut dijangka akan ditawarkan untuk sistem operasi mudah-alih mereka, iOS.
Apple dikatakan mungkin menawarkan program beta terbuka untuk iOS 8.3, berkemungkinan seawal bulan Mac ini – dan diiikuti dengan iOS 9 selepas beberapa bulan. Apple dijangka menawarkannya secara terhad – berkemungkinan kepada lebih kurang 100,000 pengguna sahaja untuk peringkat awal ini.
Melaluinya, ia akan membolehkan pihak Apple mendapatkan maklumbalas daripada pengguna yang bukan pembangun mengenai kestabilan sesuatu sistem. Ini juga sekaligus akan membolehkan Apple mengetahui maklumbalas mengenai cara penggunaan peranti yang berbeza oleh sejumlah besar pengguna.
Seperti umum sedia maklum, pada pengenalan iOS 8 sebelum ini, Apple dikritik ramai kerana menawarkan perisian yang tidak stabil, dan mempunyai masalah penggunaan. Berkemungkinan dengan pengenalan program seumpama ini, ia akan mengatasi masalah tersebut, dan membolehkan Apple menawarkan perisian yang lebih stabil lagi.
Buat masa ini, Apple masih tidak mengeluarkan sebarang komen rasmi berkaitan perkara ini.
- Sumber: Amanz | Februari 20, 2015
No comments:
Post a Comment