Wednesday, 18 February 2015

Tidak perlu buka siasatan baru kes Altantuya susulan kenyataan Sirul - KPN

Jelas Khalid, tertuduh, Sirul mempunyai peluang berbuat demikian di tiga peringkat di Mahkamah.

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata tiada sebab bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka semula kertas siasatan kes pembunuhan melibatkan warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu.

Kenyataan itu dikeluarkan Khalid meskipun tertuduh, Koperal Sirul Azhar Umar yang kini berada di Australia menyatakan kemungkinan untuk mendedahkan semuanya kepada media negara itu.

Jelas Khalid, tertuduh, Sirul mempunyai peluang berbuat demikian di tiga peringkat di Mahkamah.

“Kenapa sekarang baru dia hendak dedahkan semuanya? Saya bimbang ada pihak yang ada kepentingan cuba mempengaruhi dia untuk memberi tahu perkara yang tidak betul.

“Mereka tahu dia di Australia yang mana kerajaan Australia tidak akan hantar dia balik kerana undang-undang negara itu yang tidak mengiktiraf kerjasama dengan negara yang mengamalkan hukuman mati.

“Kita tidak akan buka kertas siasatan oleh sebab desakan pihak tertentu tapi kita akan memantau apa yang ingin didedahkan Sirul,” katanya kepada pemberita sempena pelancaran Kempen Balik Kampung Ops Selamat 6/2015 sempena sambutan Tahun Baharu Cina di plaza tol Jalan Duta sini hari ini.

Sirul kini ditahan di pusat tahanan Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan di Sydney selepas ditangkap di Queensland berikutan notis merah yang dikeluarkan Polis Antarabangsa, Interpol.

Khalid berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah portal berita yang memetik Sirul yang mendakwa dia menerima arahan untuk membunuh Altantuya dan sedang mempertimbangkan untuk mendedahkan semuanya.

“Saya menerima arahan. Orang-orang penting dengan motif tertentu untuk membunuh Altantuya masih bebas,” katanya seperti yang dilaporkan portal berita tersebut.

Bulan lalu panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2013 dan memutuskan Sirul dan bekas Ketua Inspektor, Azilah Hadri ke tali gantung kerana membunuh Altantuya Shaaribuu 9 tahun lepas. 

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment