Sunday, 11 January 2015

Suami isteri berjawatan guru disyaki sebar maklumat palsu banjir ditahan

Suami isteri disyaki sebar maklumat palsu berkaitan banjir ditahan - Gambar Hiasan

KOTA BHARU: Polis Kelantan menahan sepasang suami isteri berjawatan guru kerana disyaki menyebarkan maklumat palsu berkaitan banjir melalui laman aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata suami isteri berumur 45 dan 43 tahun itu ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sebuah rumah di Kodiang, Kedah, pada 12 tengah hari semalam.

"Suspek disyaki menyebarkan maklumat palsu melalui aplikasi WhatsApp yang kononnya ada mayat bergelimpangan di Guchil, Kuala Krai dan ia merupakan mesej yang berbaur fitnah serta palsu.

"Kedua-dua suspek bekerja sebagai guru, kita tahan suspek untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang akhbar mengenai tangkapan itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Rosli Abdul Rahman.

Mazlan berkata pasangan itu akan direman untuk membantu siasatan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata 11 kematian direkodkan manakala dua mangsa masih hilang dalam kejadian banjir besar yang melanda Kelantan bulan lepas. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment