Sunday, 11 January 2015

Awas gelombang ketiga

  • Mohamed Khaled Nordin
  • Mohamed Khaled Nordin

JOHOR BAHRU - Johor sentiasa bersedia berhadapan sebarang kemungkinan selepas menerima amaran hujan lebat peringkat merah daripada Jabatan Meteorologi.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semua jabatan bertanggungjawab dalam keadaan bersedia untuk bertindak sekiranya berlaku banjir gelombang ketiga.

Bagaimanapun menurutnya, penduduk turut diharap dapat menjaga diri serta harta benda masing-masing untuk sebarang kemungkinan.

"Kita juga berharap penduduk dapat bersiap sedia jika berlaku hujan lebat, ribut taufan dan seterusnya banjir.

“Kita sentiasa memerhati dan menasihatkan penduduk supaya mendengar arahan sekiranya diarahkan berpindah oleh pihak bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, orang ramai khususnya yang tinggal di kawasan rendah dinasihatkan supaya sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan air naik pada bila-bila masa sepanjang berada dalam musim monsun.

Beliau berkata, pihaknya telah bersedia menghadapi musim banjir sejak September tahun lalu dengan menghantar bekalan makanan di kawasan pedalaman dan pulau khususnya di daerah Mersing.

“Kerajaan negeri sentiasa bersedia menghadapi gelombang banjir lebih besar berbanding kejadian sebelumnya yang berlaku pada Disember tahun lalu.

“Banjir boleh berlaku pada bila-bila masa disebabkan keadaan cuaca tidak menentu. Kita tidak boleh ramalkan jika banjir telahpun pulih ia tidak akan berulang lagi memandangkan faktor musim monsun adalah bermula November hingga Mac. Justeru perlu sentiasa bersiap sedia,” katanya.

Ayub turut menyelar beberapa kenyataan di media sosial yang mengaitkan banjir yang melanda negeri ini disebabkan faktor aktiviti pembalakan haram seperti yang berlaku di Kelantan.

“Saya ingin menegaskan di sini, kawasan yang dilanda banjir membabitkan penempatan rendah dan kerap dinaiki air apabila hujan lebat selain faktor cuaca tidak menentu semasa fenomena monsun.

"Ia tidak kena mengena dengan pembalakan haram.

“Air yang melimpah juga tidak membawa lumpur malah rumah atau premis dinaiki air tidak dilitupi dengan lumpur tebal justeru tuduhan itu adalah tidak berasas,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment