Md Zaki menunjukkan serpihan cermin keretanya yang pecah akibat terkena peluru, semalam.
YAN - Seorang petani nyaris cedera apabila kereta dipandunya terkena tembakan didakwa dilepaskan anggota polis di Batu 3, Tandop, Alor Setar, awal pagi, semalam.
Mangsa, Md Zaki Md Hassan, 45, mendakwa, dalam kejadian kira-kira jam 5.45 pagi itu, dia dalam perjalanan dari Kuala Kedah ke rumahnya dekat Kuala Sedaka.
Menurutnya, dia singgah di sebuah restoran terletak di tepi jalan berkenaan sebelum pulang ke rumah.
“Kebetulan, ada sebuah kereta peronda polis yang turut berhenti di hadapan restoran itu.
“Tiba-tiba kereta peronda itu undur dan saya pun terpaksa undur sedikit untuk elak daripada berlanggar. Kemudian, seorang polis di tempat duduk depan sebelah kiri, keluar melihat saya sambil mengacukan pistol,” katanya, semalam.
Terkejut dengan tindakan itu, mangsa kemudiannya, memandu kereta dengan laju untuk menyelamatkan diri.
“Peronda itu kejar saya, sebelum melepaskan satu das tembakan yang terkena cermin belakang.
“Nasib baik, tiada anak-anak dan isteri dalam kereta,” katanya.
Difahamkan, kereta peronda jenis Proton Waja itu kemudiannya mengejar kereta mangsa sehingga ke satu persimpangan sebelum menggari tangan mangsa.
“Saya bukan penjenayah! kenapa mereka gari saya? dan tembak saya?. Kalau tembakan itu kena saya, siapa nak bertanggungjawab?.
“Saya sempat dengar perbualan telefon salah seorang anggota polis itu dengan seorang pegawai di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah yang meminta supaya saya dilepaskan,” katanya.
Md Zaki berkata, dia belum bersedia membuat laporan polis berhubung kejadian itu kerana masih trauma dan bimbang keselamatannya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya ketika dihubungi memaklumkan sedang menyiasat insiden tersebut dan belum menerima sebarang laporan.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment