Wednesday, 21 January 2015

Guru Besar rebah, meninggal dimajlis perpisahan beliau

Anggota polis melakukan siasatan sebaik dimaklumkan mengenai kematian Hock Hin.

PARIT BUNTAR - Majlis Perpisahan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Kebun, di sini bertukar tragedi apabila individu diraikan, mati mengejut ketika sedang membuat persembahan di atas pentas, pagi semalam.

Bekas Penolong Kanan Pentadbiran SK Tanah Kebun, Jamil Hassan berkata, ketika kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, bekas guru besar sekolah itu, Cheah Hock Hin, 60, sedang menyanyi dihadapan tetamu sebelum rebah.

Menurutnya, tetamu yang pada mulanya menyangka mendiang berjenaka menjadi cemas apabila Hock Hin tidak sedarkan diri walaupun diberikan bantuan pernafasan.

“Tidak sampai beberapa minit, saya rasakan denyutan nadi dan nafasnya sudah tiada. Saya sedih kerana mendiang merupakan kawan baik saya dan menghembuskan nafas terakhir atas pangkuan saya.

“Sewaktu mendiang berucap, dia ada berseloroh mahu atasi umur bapanya yang cecah 80 tahun.

“Seluruh warga SK Tanah Kebun terkejut dan sedih atas pemergian mendiang yang sememangnya berjasa kepada sekolah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di SK Tanah Kebun, semalam.

Jamil berkata, mangsa tidak sempat menerima watikah persaraan daripada Pejabat Pendidikan Daerah Kerian.

Menurutnya, Hock Hin yang mula bertugas di SK Tanah Kebun sejak Mac 2011, seorang guru besar cekal dan ikhlas berkhidmat.

“Mendiang ada beritahu dia menghidap kencing manis dan sakit jantung.

“Bagi saya, pemergiannya satu kehilangan besar buat warga SK Tanah Kebun kerana jasa dan pengorbanannya untuk kemajuan sekolah sememangnya tidak dapat disangkal,” katanya.

Sementara itu, anak bongsu mangsa, Cheah Han Ming, 23, berkata, ayahnya ceria sebelum bertolak ke majlis perpisahan yang dirancang oleh pihak sekolah itu.

Katanya, Hock Hin turut meminta supaya gambarnya berpakaian kemas dirakamkan awal pagi semalam.

“Kami sekeluarga terkejut dengar berita kematian ayah kerana ayah pernah menyuarakan hasrat untuk berehat sepenuhnya selepas bersara.

“Ayah sememangnya dikenali sebagai seorang yang komited, berdedikasi dan ikhlas sewaktu berkhidmat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi berkata, kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

- Sumber: Sinar Harian | Januari 21, 2015

No comments:

Post a Comment