Saturday, 20 December 2014

Saya bukan merajuk, cuma banyak kerja lain

  • Johari Abdul
  • Johari Abdul

ALOR SETAR - Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail dilantik sebagai Pengerusi PKR Kedah yang baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Johari Abdul berkata, pelantikan itu dibuat bagi memberi peluang kepada muka baru dan golongan muda menerajui parti.

Beliau berkata, ia sejajar dengan perlembagaan parti yang menetapkan pengerusi negeri dilantik dari kalangan pimpinan negeri selepas mendapat persetujuan ketua cabang minggu lalu.

“Naik turun jawatan dalam parti adalah perkara biasa. Itu yang membezakan kita (PKR) dengan parti lain,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, Azman wajar diberi peluang kerana mempunyai pengalaman sebagai naib pengerusi dan ketua penerangan PKR Kedah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani meminta semua wakil rakyat PKR Kedah memberi sokongan kepada Azman.

“Saya memegang terlalu banyak jawatan dalam parti. Melepaskan jawatan sebagai pengerusi PKR Kedah bukan bererti saya merajuk.

“Saya melihat Azman seorang pimpinan yang sentiasa berada di Kedah dan aktif. Pemilihannya adalah tepat,” katanya.

Sementara itu, Azman ketika dihubungi mengesahkan pelantikan itu dan akan membuat pengumuman mengenai jawatankuasa baharu dalam masa terdekat.

“Saya akan cuba ubah pimpinan negeri mengikut kehendak dan cabaran semasa sebagai usaha meremajakan pimpinan negeri.

“Misi kita adalah untuk memenangkan perjuangan PKR Kedah dalam menghadapi PRU14 nanti,” katanya.

Difahamkan, rombakan itu adalah kali kedua selepas PRU13 lalu yang melantik Johari sebagai pengerusi menggantikan Datuk Wan Salleh Wan Isa.

Rombakan itu menyaksikan hampir 80 peratus pimpinan muda dalam PKR Kedah bagi meneruskan usaha menghadapi PRU14.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment