Jajahan Pasir Mas menempatkan jumlah terbesar mangsa banjir dengan 11,156 orang.
KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 19,715 orang tengah hari ini berbanding 18,812 orang pagi ini berikutan pertambahan mangsa banjir di jajahan Tumpat.
Menurut portal banjir kerajaan negeri pada pukul 12 tengah hari ini, keadaan itu berikutan limpahan air Sungai Golok yang masih melepasi paras bahaya.
Keseluruhan pusat pemindahan di tujuh jajahan iaitu Pasir Mas, Tumpat, Kuala Krai, Kota Baharu, Machang, Pasir Puteh dan Tanah Merah, kini bertambah kepada 86 berbanding 83 pagi tadi.
Jajahan Pasir Mas masih menempatkan jumlah terbesar mangsa banjir dengan 11,156 orang tengah hari ini berbanding 10,599 orang pagi tadi, yang ditempatkan di 37 pusat pemindahan.
Jumlah mangsa banjir di Jajahan Tumpat pula meningkat kepada 3,310 orang tengah hari ini berbanding 3,115 pagi tadi, yang ditempatkan di lapan pusat pemindahan.
Jumlah mangsa bajir di Kuala Krai meningkat kepada 3,035 orang tengah hari ini berbanding 2,865 orang pagi tadi. Kesemuanya ditempatkan di 12 pusat pemindahan.
Di Kota Baharu, 761 mangsa banjir ditempatkan di enam pusat pemindahan, Pasir Puteh (603 orang/empat pusat pemindahan), Tanah Merah (461 orang/11 pusat pemindahan) dan Machang (389 orang/lapan pusat pemindahan).
Cuaca yang agak baik sejak dua hari lalu menyebabkan paras air di beberapa batang sungai utama terus menyusut kecuali Sungai Golok di Rantau Panjang yang mencatat bacaan 10.28 meter melepasi paras bahaya 9 meter.
Sejak banjir gelombang kedua melanda Kelantan pada 16 Dis lalu, empat kematian akibat banjir direkodkan iaitu masing-masing di Tanah Merah, Tumpat, Kuala Krai dan Kota Baharu.
Cuaca di Kelantan pada tengah hari ini mendung dengan hujan renyai.
- Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment