Friday, 31 October 2014

Prinsip Farrah Adeeba


Farrah Adeeba


BENARLAH kata pujangga, reda ibu bapa sangat penting dalam kehidupan anak-anak. Itulah prinsip yang dipegang 'kuat' oleh personaliti TV AlHijrah, Farrah Adeeba Mohamed Ashraf.

Dek prinsip itu juga, pengacara Assalamualaikum itu sanggup mengetepikan seketika minatnya terhadap dunia fesyen bagi meneruskan pengajian peringkat tertingginya dalam bidang undang-undang.

"Keluarga saya sangat tradisional dan lebih mengutamakan ke arah bidang profesional.

"Saya sebagai anak, sudah tentu mahu menjadi seorang anak yang mendengar kata agar hidup lebih diberkati kelak.

"Saya sentiasa percaya jika kita hendak berjaya, kita perlu mendapatkan keredaan ibu bapa. Itu sangat penting dalam hidup," tegasnya kepada Zass. 

Bagaimanapun, peluangnya mencuba nasib dalam bidang penyiaran menerusi pertandingan realiti, Pengacara Jemputan Nona (PJN) pada 2002 memberi laluan untuknya kembali aktif dalam bidang yang diminatinya itu.

"Selepas mendapat tempat kelima dalam PJN, jadual saya mulai sibuk sementelah banyak peluang pengacaraan yang saya terima seperti Wanita Hari Ini, Akademi al-Quran dan Cari Menantu.

"Minat saya dalam fesyen tidak pernah padam.

"Tugasan sebagai pengacara serta wartawan secara tidak langsung memberi laluan untuk saya mengukuhkan hubungan sesama pereka luar dan tempatan, di samping menambah kenalan yang turut terbabit dalam dunia fesyen," katanya.

Tambahnya, walaupun dia melalui proses yang panjang, perkara itu semua menjadikannya matang sekali gus membuka minda.

Atas kesabarannya itu, Farrah Adeeba kini mampu tersenyum lebar kerana sudah mempunyai butiknya sendiri.

"Saya kini lebih berfokus pada bisnes butik saya yang dikongsi dengan beberapa teman iaitu Najjah dan Falah Abiyana.

"Semua produk atas dua jenama ini direka sendiri dan sehingga kini kami sudah mempunyai lima cawangan di Kota Damansara, Mutiara Damansara Wangsa Maju, Puchong dan Shah Alam," katanya.

Selain butik tersebut, Farrah Adeeba juga adalah salah seorang pengasas kepada Women Of Jannah (WOJ) iaitu butik yang menghimpunkan pelbagai jenama Muslimah di bawah satu bumbung.

"Tujuan utama WOJ adalah untuk menjadi pusat sehenti kepada jenama Muslimah itu sendiri," katanya.


Tidak abai keluarga


Biarpun sibuk dengan pelbagai urusan, fokus utama Farrah Adeeba tetap kepada keluarga kecilnya.

Kata isteri kepada Muhammad Rafique Rashid Ali dan ibu kepada anak angkatnya, Mohammad Razique Abdullah, dia tetap akan cuba mencari masa bagi meluangkan lebih masa dengan mereka.

"Tidak dinafikan, saya sememangnya sentiasa sibuk dengan pelbagai perkara. 

"Tetapi itulah, hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih," katanya.

Katanya, hidup berkeluarga ini bagaikan bekerja dalam satu syarikat yang memerlukan kerjasama yang erat di antara pekerja-pekerjanya.

"Sebagai satu keluarga, kita perlu saling percaya-mempercayai dan sentiasa amalkan sikap bertolak ansur.

"Perkahwinan itu bukan sekadar pengorbanan sebaliknya perlu ada keseronokan dan usik mengusik, barulah akan bertahan lama selain sama-sama mendekatkan diri kepada-NYA," akhirinya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment