Friday, 31 October 2014

Final Piala Malaysia Sabtu ini - 'Ayuh kita nikmati'

'Ayuh kita nikmati final kali ini'

DEBARNYA makin terasa. Degup jantung pasti kian pantas bilangannya. Itu sudah pasti dirasai penyokong-penyokong pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dan Pahang menjelang sepakmula perlawanan akhir OPPO Piala Malaysia, Sabtu ini.

Segala cerita persiapan kedua-dua pasukan sudah dipampangkan media. Segala kekuatan dan kelemahan sudah diperhalusi serapi mungkin, demi memastikan atur langkah memasuki padang di Stadium Nasional nanti berbekal keyakinan yang utuh dibina.

Ikhlasnya, saya lihat aksi kemuncak kali ini adalah pertemuan buku dengan ruas; pertentangan dua barisan setanding; percaturan merebut gelaran terunggul di antara barisan yang sudah membuktikan diri sebagai dua yang terbaik di kancah Liga Malaysia musim ini.

Bukan tugas saya untuk menjulang siapa barisan ada kelebihan. Bukan niat saya untuk mencipta suasana yang mampu mencipta riak bertelagah di antara ratusan ribu penyokong kedua-dua pasukan. Kerana baik JDT mahupun Pahang, kedua-duanya berhak menjengah pintu aksi final kali ini.

Inilah istimewanya Piala Malaysia. Inilah yang kerap kali dirujuk sebagai ‘magis’ kejohanan bola sepak terulung negara. Kerana kemampuan untuk mencipta ruang rasa teruja, menjelmakan kilauan semangat serba bernyala, meruntun jiwa, mengusik sanubari seluruh Malaysia.

Siapapun yang akan menjulang piala idaman pada lewat malam Sabtu ini, pemenang sebenarnya ialah bola sepak negara.

Biarpun mungkin skuad kebangsaan tidak memiliki pencapaian hebat untuk dibanggakan, gempita sorakan yang tak pernah gagal diciptakan kejohanan Piala Malaysia membuktikan betapa cinta dan sayang peminat kepada sukan nombor satu ini, tidak pernah terjejas.

Malah jika diimbas sepanjang musim, bahang sokongan mampu diakui sudah mencecah tahap yang mengesankan. Kerana makin sukar untuk melihat kerapnya stadium yang kosong ketika ribuan demi ribuan peminat sudah kembali hadir ke stadium pada saban minggu.

Kepada peminat dan penyokong yang memberi ‘nyawa’ kepada saingan Liga Malaysia musim ini, terima kasih kerana ghairah sokongan dan jitu semangat yang dihadirkan.

Ayuh kita nikmati final antara JDT dan Pahang malam Sabtu ini.

Kepada yang akan ke Stadium Nasional, ikuti nasihat pihak keselamatan dan hadirlah lebih awal. Nikmati suasana penuh warna warni di perkarangan stadium sebelum menikmati aksi di tengah padang yang akan dipertontonkan pemain-pemain sanjungan.

Kepada yang tidak berkesempatan ke stadium, jangan lupa ikuti siaran langsung di Saluran Astro Arena, baik di saluran 801 ataupun 802 berdefinisi tinggi.

Ini kemuncak kepada kancah aksi Liga Malaysia musim ini. Mari kita sama-sama raikannya!


- Sumber: Ahmad Khawari Mohd Isa, Ketua Staf Nadi Arena

No comments:

Post a Comment