Friday, 17 October 2014

Nina: Dugaan selepas berhijab

Nina Iskandar

MENGAKUI kurang menerima tawaran lakonan selepas mengenakan tudung sejak akhir April lalu, pelakon kelahiran Brunei ini memberitahu, dia tidak kisah jika rezekinya dalam bidang lakonan terbatas sejak melakukan perubahan tersebut.

Baginya, dia tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu kerana apa yang dilakukan adalah kerana ALLAH SWT.

"Saya yakin rezeki sentiasa ada dan menanti. Lagipun saya masih baru bertudung, jika ada mana-mana produksi yang mahu mengambil saya berlakon, mereka perlu mencari watak dan karakter yang sesuai dengan penampilan saya," ujar empunya nama Nina Iskandar ini.

Mengulas mengenai sisi peribadinya pula ujar Nina, desas-desus yang mengatakan pertunangannya bersama Ahmed Haiqal, 30, sedang dilanda masalah adalah tidak benar.

"Tidak memuat naik gambar kami bersama di laman sosial bukan bererti hubungan kami bermasalah. Alhamdulillah hubungan kami masih seperti biasa. Cuma rasanya lebih elok saya kurangkan meletak gambar kami bersama sejak bertunang.

"Apa pun kami masih lagi belum menetapkan sebarang tarikh perkahwinan dan hanya akan berkahwin selepas benar-benar bersedia tetapi bukan dalam masa terdekat," jelasnya yang akan mengumumkan tarikh perkahwinan nanti.

Bercerita mengenai buah tangan terbaharunya, Nina memberitahu, dia bakal memasuki set penggambaran bagi drama bersiri terbaru di slot Azalea TV3 iaitu Noktah Kasih.

"Ia adalah projek pertama saya sejak bertudung. Walaupun terpaksa menunggu enam bulan tetapi saya sangat bersyukur," katanya berdampingan bersama Iqram Dinzly, Adiba Yunus dan Azwan Kombos menerusi drama itu.

Selain itu, Nina juga sedang berjinak-jinak sebagai penyanyi dan bakal merakamkan dua buah lagu dua buah lagu yang bakal digunakan untuk lagu runut bunyi bagi drama bersiri Selipar Jepun Stiletto Merah dan filem Adik Abang.

- Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment