Friday, 17 October 2014

Nicole Kidman mahu hamil lagi

Nicole Kidman

RAMAI di kalangan selebriti tempatan mahupun antarabangsa lebih memilih untuk menjaga populariti demi kelangsungan kerjaya.

Malah, ada juga yang bertindak mengehadkan bilangan anak untuk terus menempa nama di persada industri seni. Namun, bagi bintang cantik ini, anak-anak membuatkan dirinya lebih dihargai.

Malah, di usia 47 tahun, Nicole Kidman tetap berharap untuk menambah bilangan anak dan ingin melalui proses kehamilan lagi.

Menurut bintang Paperboy ini, walaupun sudah memiliki empat anak daripada dua perkahwinan, namun kehadiran si kecil untuk masa akan datang lebih menggembirakan dirinya sekeluarga.

"Buat masa ini, saya masih berharap untuk hamil lagi. Walaupun usia saya sudah menghampiri 50 tahun, namun nenek saya pernah hamil di usia 49 tahun.

"Ini bermakna, saya masih ada harapan untuk mengandung lagi. Setiap bulan, saya berharap akan hamil namun buat masa ini, belum ada lagi.

"Saya juga risau sekiranya tidak dapat hamil lagi kerana faktor usia. Kebanyakan wanita berusia akan berdepan dengan risiko yang tinggi sekiranya hamil lagi," katanya lagi.

Hasil perkahwinan dengan Keith Urban pada 2010, mereka memiliki dua cahaya mata, Sunday Rose dan Faith manakala ketika bersama bintang kacak, Tom Cruise sejak 1990 hingga 2001, Kidman turut mengambil dua anak angkat.

Keluarga tetap prioriti

Walaupun bergelar selebriti, namun Kidman lebih selesa meletakkan prioriti kepada keluarga berbanding kerjaya seninya.

Malah, Kidman pernah memberitahu, sekiranya terpaksa memilih antara keluarga dan kerjaya, dia akan berpihak kepada keluarga dan tidak teragak-agak untuk meninggalkan industri.

"Saya lebih bahagia apabila bersama keluarga dan jika diminta membuat pilihan, saya akan pilih suami dan anak saya kerana tanpa mereka, hidup saya tidak bermakna.

"Sebagai ibu dan isteri, mereka adalah harta yang paling bernilai buat saya. Tiada apa yang boleh merubah kasih sayang saya terhadap mereka.

"Malah, saya beruntung kerana diberikan suami yang baik dan penyayang. Malah, setiap kali suami saya keluar bekerja dalam tempoh yang lama, dia akan meninggalkan surat cinta untuk saya," katanya bangga.
- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment