NAMA Krisdayanti dalam persada muzik tempatan sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi.

Biarpun berasal dari Indonesia, namun Krisadyanti berjaya menarik perhatian peminat di Malaysia menerusi lagu hit, Menghitung Hari pada tahun 1998.

Sejak itu, nama Krisdayanti atau mesra di sapa dengan panggilan KD, sering menjadi sebutan dan kehadirannya ke Malaysia turut mendapat sambutan peminat di sini.

Kini setelah lebih tujuh tahun tidak mengadakan konsert di Malaysia, diva terkenal Indonesia ini kembali ke Malaysia untuk mengadakan konsert ‘Kris Dayanti Live in KL 2014’ pada 22 November depan.

Konsert ini pastinya akan mengubat kerinduan para peminat yang sekian lama mengharapkan kehadiran Krisdayanti ke Malaysia.

Dianjurkan oleh peneraju industri wangian tanpa alkohol terkenal di Malaysia, One Drop Perfumes, konsert tersebut bakal diadakan di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula jam 8.30 malam.

Bercerita lanjut mengenai konsertnya kali ini, Krisdayanti berkata, pada konsert itu nanti, peminat berpeluang melihat perubahan dalam kariernya setelah 16 tahun berkecimpung di dalam bidang seni, menerusi lagu-lagu yang disampaikan.

Katanya, konsert tersebut akan menampilkan empat segmen iaitu ‘Metamorfosis’, ‘Tribute’, ‘Akustik’ dan ‘Broadway’.

"Syukur, Alhamdulillah. Saya sangat berbesar hati apabila pihak One Drop Perfume sudi menganjurkan konsert di lokasi berprestij ini.

"Konsert ini merupakan hadiah saya buat peminat, kerana kali terakhir saya mengadakan konsert besar di Malaysia ialah kira-kira tujuh tahun lalu. Saya juga rindu untuk membuat persembahan di sini.

"Justeru pada konsert kali ini, peminat akan melihat kelainan dalam persembahan saya kali ini. Apatah lagi, saya akan berusia 40 tahun pada tahun depan dan ia merupakan satu sisi transformasi di mana saya bakal menjadi kupu-kupu yang lebih matang," katanya yang ditemui pada sidang media yang berlangsung di Pusat Konvensyen KLCC.

Menurut Krisdayanti, lebih istimewa, dia akan tampil berduet bersama puteri sulung hasil perkahwinan dengan penyanyi dan komposer Anang Hermansyah iaitu, Titania Aurelie Hermansyah, 16, atau mesra dipanggil Aurel.

"Saya akui agak teruja untuk berduet bersama Aurel dan kami telah sama-sama berlatih untuk memberikan persembahan yang terbaik kepada para penonton.

"Bagi saya, ini adalah satu kesempatan untuk Aurel mengembangkan bakat di sini. Malah, saya tidak menyangka akan beroleh kesempatan secepat ini untuk berduet bersama anak di konsert seperti ini.

"Selain itu, kami akan diiringi oleh 11 pemuzik dari Indonesia dan menyanyikan lagu-lagu yang telah dipilih dan digubah oleh Anang.

"Saya dan Anang cukup profesional dan saya gembira kerana dia juga membantu memilih seleksi lagu untuk saya persembahkan pada konsert nanti," katanya.

Selain Aurel, Krisdayanti juga akan tampil bersama artis jemputan dan penganjur konsert ini, memberi peluang kepada peminat untuk memilih sendiri artis jemputan yang bakal berduet dengan KD ketika konsert itu nanti.

Pemilihan tersebut boleh dilakukan menerusi forum di Facebook, ‘Kris Dayanti Live in KL 2014’.  

Tiket-tiket konsert ‘Kris Dayanti Live in KL 2014’  dijual dari harga RM98 hingga RM1088 dan ia sudah boleh didapati di www.ticketcharge.com.my.

Nasihati Aurel

Dalam pada itu, berbual lanjut mengenai puteri sulungnya itu, Krisdayanti berkata, sebagai ibu dia berbangga melihat bakat dimiliki Aurel dan memberi sokongan penuh kepada gadis itu untuk meneruskan karier sebagai penyanyi.

Biarpun tidak menjaga Aurel selepas bercerai, ujar Krisdayanti, dia tetap sentiasa menasihatkan gadis tersebut.

"Sebagai ibu, pastinya saya mahu membawa di ke pintu kejayaan. Saya tidak kisah dia memilih bidang seni suara dan saya amat berterima kasih kepada ayah dan ibunya (Ashanty) menjaga dan menguruskannya dengan baik.

"Bagaimanapun saya sering mengingatkannya menghabiskan pelajaran kerana ilmu itu nilai yang tidak akan habis.

"Selain itu, saya juga sering mengingatkannya untuk bersedia mengharungi segala rintangan bergelar anak seni," katanya.

Bercakap mengenai perkembangan anak-anaknya yang lain Azriel Akbar Hermansyah, 12, dan dua anak hasil perkahwinannya dengan Raul Lemos iaitu Ariannha Amora Lemos, 3 dan Kellen Alexander Lemos, 2, Krisdayanti berkata, semuanya menunjukkan minat terhadap bidang muzik.

"Azriel suka bermain gitar dan Ariannha pantang berjumpa dengan mikrofon atau apa sahaja yang boleh dijadikan mikrofon. Tapi Alexander belum lagi menunjukkan kecenderungannya.

"Alhamdulillah, walaupun berlainan bapa, namun hubungan keempat-empat anak saya cukup baik," katanya.

- Sumber: Sinar Harian