POWER bank ialah aksesori yang semakin popular dan perlu dimiliki oleh pemilik peranti pintar.

Ini kerana gabungan kapasiti bateri yang tidak selari dengan kekuatan pemproses serta isyarat telefon di Malaysia yang tidak stabil membuatkan hayat peranti menjadi pendek.

 Samsung kini menghasilkan kabel khas Samsung Power Sharing yang membolehkan peranti berubah menjadi sebuah power bank ketika kecemasan.

Buat masa ini kabel ini hanya boleh digunakan oleh Galaxy Note 4, Galaxy Avant, Galaxy Alpha,Galaxy Tab S 10.5, Galaxy Tab S 8.4, Galaxy S5 dan Galaxy S4.

Kabel ini sebenarnya disasarkan untuk digunakan bersama dengan jam pintar Samsung yang mempunyai kapasiti bateri yang kecil. Pengecasan peranti yang disambung dikawal menggunakan aplikasi khas bagi memastikan peranti yang mengecas tidak disedut kesemua simpanan baterinya.

Fungsi kabel Power Sharing ini pernah dilihat pada peranti Huawei Ascend Mate yang mempunyai kapasiti bateri yang besar. Bezanya pada Ascend Mate anda tidak memerlukan kabel ataupun aplikasi khas untuk mengecas.

Dengan wujudnya Power Sharing nampaknya Samsung mula belajar mewujudkan fungsi yang sebelum ini hanya wujud pada peranti buatan China.

Pada Galaxy Note 4 mereka memperkenalkan sistem pengecasan pantas seperti yang ada pada Oppo Find 7.


- Sumber: Sinar Harian