Muka depan akhbar Sinar Harian pada 28/9/2014
ALOR SETAR - Keluarga Allahyarham Ku Nurul Shuhada Ku Rosli, 28, melakukan pelbagai usaha untuk merawati masalah kemurungannya termasuk perubatan moden dan tradisional.
Suaminya yang hanya mahu dikenali sebagai Saiful berkata, masalah berlaku sejak awal kehamilan anak kedua mereka apabila isterinya lebih suka menyendiri seolah-olah berada dalam dunianya sendiri.
"Sejak berdepan masalah itu, dia mudah lupa dengan apa yang sedang dilakukannya. Bimbang keadaan menjadi semakin serius kami membawanya berjumpa doktor dan pada masa sama turut berikhtiar menemui pengamal perubatan tradisional.
"Setelah beberapa bulan berusaha tahap kesihatannya semakin baik namun sejak dua minggu kebelakangan ini kembali merosot," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, hari ini.
Semalam, Allahyarham Ku Nurul Shuhada maut dirempuh kereta api berhampiran Kampung Kuala Alor, Alor Merah dan mayatnya ditemui dalam keadaan menyayat hati.
Sementara itu, Saiful turut menafikan desas desus bahawa isterinya cuba membunuh diri sebaliknya wanita itu berdepan dengan masalah kesihatan.
"Sepanjang menjalani rawatan, anak kami yang berusia setahun setengah dijaga oleh datuknya dan lebih rapat dengan saya berbanding Allahyarham.
"Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira jam 7 petang semalam di Tanah Perkuburan Islam Alor Merah," katanya.
Menurutnya, buat sementara waktu beliau akan tinggal bersama keluarga mertuanya sebelum kembali ke Pulau Pinang.
- sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment