Sunday, 14 September 2014

Datuk Yusof Haslam jadi 'orang tengah'


SETELAH hampir setahun lumpuh tanpa sebarang gerakan dan aktiviti, Persatuan Seniman bakal mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan ke 14 (AGM 14) pada 27 September depan.

AGM 14 yang bakal dikendalikan oleh bekas Presiden Seniman terdahulu, Harun Salim Bachik, mendapat mandat daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Walaupun AGM14 bakal diadakan kurang sebulan lagi, namun kedua belah pihak yang berdepan dengan kemelut sebelum ini masih gagal untuk duduk semeja. Perkara ini amat membimbangkan Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Datuk
Yusof Haslam, memandangkan Seniman adalah persatuan artis tertua tempatan yang ditubuhkan empat dekad lalu.

Mengambil kira soal kepentingan persatuan itu, pengarah dan penerbit filem ini menawarkan diri untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku antara kedua pihak.

Berperanan sebagai 'orang tengah', Yusof memberitahu, perjumpaan antara mereka akan dilakukan pada 16 September ini (Selasa) di Restoran Haslam.

"Alhamdulillah, saya telah pun berbincang dengan kedua-dua pihak dan mereka bersetuju untuk mengadakan pertemuan ini.

"Malah, dalam pertemuan itu nanti, kami akan cuba menyelesaikan masalah berbangkit sebelum ini dan juga berusaha untuk mendamaikan mereka.

"Saya berharap agar pertemuan ini menjadi detik bermakna dan mencipta persepakatan baharu dalam persatuan ini," katanya.

Tambah pemilik syarikat produksi Skop Productions ini, usaha yang dilakukan untuk Seniman adalah tanggungjawab bersama untuk industri tanpa mengandungi apa-apa kepentingan peribadi.

"Sudah lama saya memerhatikan keadaan ini dan terpanggil untuk membantu mereka. Saya harap, tiada yang memanipulasikan usaha saya kerana apa yang dilakukan ini adalah untuk industri.

"Industri memerlukan Seniman dan tidak mahu ianya terkubur begitu sahaja. Malah, masalah antara ahli persatuan tidak boleh diheret bersama.

"Sekiranya masalah ini tidak diselesaikan dengan berhemah, sudah tentu sikap berpuak-puak ini akan terus menyukarkan perjalanan persatuan selepas ini," katanya lagi.

-- Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment