Tuesday, 25 March 2014

Pandelela tambah yakin lepas menang 2 pingat

KUCHING - Ratu terjun negara Pandelela Rinong kini semakin yakin untuk bersaing dengan dua pencabar terbaik dunia iaitu Liu Huixia dari China dan Filion Roseline dari Kanada setelah beliau berjaya memperoleh pingat perak kedua pada pusingan kedua Kejohanan Siri Dunia Fina di Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada Ahad.

“Sangat-sangat gembira kerana bukan sahaja kerana saya berjaya memenangi pingat perak semalam tapi ia adalah pingat perak kedua berjaya saya menangi dalam acara yang sama dalam siri Dunia Fina tahun ini,” kata penerjun berusia 21 tahun dari Sarawak ini ketika dihubungi. 

Pada pusingan pertama kejohanan di Beijing awal bulan ini, Pandelela merangkul pingat perak dalam acara individu 10 platform dan pingat gangsa bagi acara 10m berpasangan berirama bersama Leong Mun Yee.

“Selepas berjaya memenangi pingat perak di pusingan pertama di Beijing minggu lepas, saya sememangnya lebih berkeyakinan di kejohanan di sini (Dubai).

“Saya memberi sepenuh tumpuan terhadap terjunan saya dan gembira semuanya berjaya dilakukan dengan baik.

“Dengan dua kemenangan pingat perak, kini saya lebih yakin untuk meneruskan pusingan ketiga yang akan diadakan di London dari 25 hingga 27 April,” katanya.

Pandelela berkata, sasaran beliau ialah untuk memperbaiki terjunan dan berharap untuk memberi saingan kepada Huixia di London nanti.

Huixia mengekalkan pingat emas yang dimenanginya dalam pusingan pertama selepas mendapat 400.70 mata sementara Filion Roseline mendapat gangsa dengan 355.20 mata.

Kejohanan pusingan ketiga akan diadakan di Rusia dari 2 hingga 4 Mei, diikuti di Kanada (30 Mei hingga 1 Jun) sebelum berakhir di Mexico (6 hingga 8 Jun).

Bernama

No comments:

Post a Comment