Tuesday, 25 March 2014

Hanya kotak hitam dapat beri jawapan misteri MH370





KUALA LUMPUR - Misteri kehilangan penerbangan MH370 milik Malaysia Airlines sejak 16 hari lepas, terjawab malam tadi menerusi pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa penerbangan itu berakhir di selatan Lautan Hindi.



Berdasarkan rumusan itu hanya kotak hitam pesawat Boeing 777-200ER berkenaan yang dapat menjawab misteri kehilangannya sejak awal pagi 8 Mac lepas.
 

Perdana Menteri pada Isnin malam berkata berdasarkan taklimat Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) dan analisis lanjut data oleh Inmarsat, kesimpulan dibuat bahawa MH370 terbang di koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah-tengah Lautan Hindi, barat Perth.



"Kawasan ini merupakan lokasi terpencil, jauh dari sebarang tempat pendaratan. Oleh itu dengan perasaan amat sedih dan terharu saya ingin memaklumkan bahawa menurut data terkini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi," kata Najib



Pesawat itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam penerbangan ke Beijing apabila dilapor hilang daripada radar kira-kira 1.30 pagi 8 Mac, setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.



Sejak hari pertama kehilangannya, lebih 12 negara membantu Malaysia dalam misi mencari dan menyelamat pesawat tersebut.



Pada Isnin, pesawat Australia dan China masing-masing mengesan beberapa objek yang terapung di selatan Lautan Hindi, namun belum diambil.



Pihak berkuasa Malaysia akan mengadakan sidang media esok untuk menjelaskan butiran lanjut mengenai perkembangan terbaharu itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment