Tuesday, 25 March 2014

Berjudi sambil ditemani GRO

SEGAMAT - Sebuah pusat hiburan di sini, yang baru sahaja beberapa hari beroperasi berani menggunakan khidmat gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing bagi menarik pelanggan ke premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, hasil maklumat orang awam dan risikan, premis itu dipercayai menjalankan aktiviti perjudian memancing melalui mesin simulator.

Menurutnya, kegiatan itu bagaimanapun tidak mendapatkan kelulusan mana-mana pihak berkenaan.

“Pemilik premis juga menggaji tujuh GRO warga Vietnam yang tidak mempunyai permit kerja dan dokumen perjalanan sah serta khidmat mereka diperlukan bagi menggoda pelanggan supaya berjudi di premis tersebut.

“Ketika diserbu jam 11.45 malam kelmarin, beberapa pelanggan yang leka berjudi dibelai GRO berkenaan sambil berjudi melalui mesin simulator memancing bersaiz 1.5 meter persegi sambil memegang alat kawalan sebagai batang joran,” katanya.

Mohd Kamil berkata, pelanggan yang berjaya mendapatkan ikan bersaiz besar dan bernilai tinggi akan dibayar dengan wang taruhan yang banyak.

Sebelum itu pelanggan perlu membayar beberapa ratus ringgit sekiranya mahu menggunakan khidmat GRO berkenaan.

Katanya, siasatan awal yang diperolehi daripada pelanggan premis terbabit juga mendapati pelanggan mendakwa tidak pernah berjaya memperolehi habuan besar kerana GRO sering mengganggu tumpuan ketika ‘memancing’.

“Kami menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 20-an yang bekerja sebagai operator di premis tersebut dan tujuh GRO warga Vietnam yang kesemuanya berusia di antara 20 hingga 30 tahun dan kesemua mereka telah ditahan reman.

“Selain itu, kami merampas dua unit simulator memancing ‘Fishing Master’, sebuah meja dan cip plastik berwarna dan kami juga mendapati premis tersebut beroperasi melebihi waktu dibenarkan,” katanya.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment