Tat Seng kelihatan tenang ketika ditany oleh wartawan sambil ditemani oleh Adun Bercham, Cheong Chee Khing (kanan), hari ini. - Foto Sinar Harian oleh NOOR’AINON MOHAMED YUSOF
IPOH – Bapa mertua kepada Ketua Pramugari, pesawat Penerbangan Malaysia Airlines (MAS), Goh Sock Lay, 45, mahu melihat bukti-bukti tentang keadaan kapal terbang yang hilang itu sebelum mempercayai sepenuhnya menantunya itu terkorban.
Choi Tat Sang, 74, berkata, walaupun anaknya, Choi Loong Chow, 48, menghubunginya dan memberitahu mengenai pengumuman yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu namun, ia tetap mematahkan harapan untuk mempercayai dia masih hidup.
“Kami sekeluarga melihat pengumuman oleh Perdana Menteri semalam (kelmarin) dan telah bersedia dengan segala kemungkinan. Isteri saya, Thong Say Moi, 73, yang paling rapat dengan Sock Lay menangis selepas mendapat panggilan dari anak saya.
“Saya mahu percaya berita yang disampaikan oleh anak saya tetapi saya tetap mahu melihat bukti-bukti sahih sama ada bangkai ataupun serpihan pesawat yang mungkin dinaiki menantu saya itu,” katanya ketika ditemui di hadapan kedainya di Kampung Tawas, di sini, hari ini.
Sock Lay yang berasal dari Melaka adalah seorang daripada 12 anak kapal yang berada dalam pesawat MH370 yang hilang ketika dalam penerbangan ke Beijing, China.
Ibu kepada seorang anak perempuan ini telah bertugas bersama syarikat penerbangan MAS lebih 10 tahun lalu.
Tat Sang berkata, bagi mengetahui perkembangan lebih lanjut, Loong Chow dikatakan akan berlepas ke Australia bersama dengan keluarga penumpang lain.
“Anak perempuannya, Choi Wan Ling, 14, dibawa oleh saudara mara ke Pulau Pinang kerana bimbang dia tertekan selepas kehilangan ibunya itu sejak 18 hari lalu,” katanya.
Beliau turut menggambarkan menantunya itu sebagai ringan tulang dan ceria terutama ketika menyambut Tahun Baru Cina.
“Sock Lay seorang yang baik dan sentiasa membantu terutama memasak malam sebelum sambutan Tahun Baharu Cina di rumah keluarga kami sebelum mereka pulang ke kediaman mereka di Bercham,” katanya.
Sementara itu, sebuah keluarga enggan ditemubual wartawan selepas menerima pengumuman itu.
Abang kepada penumpang MAS yang enggan dikenali berkata, emosi keluarga mereka masih tidak stabil berikutan kedua ibu bapanya mengalami masalah jantung selain tidak sihat selepas kehilangan pesawat itu.
“Kami hanya menanti pihak MAS untuk bawa kami ke Australia dan kami akan berangkat ke Kuala Lumpur tidak lama lagi,” katanya.
Penumpang yang berkenaan adalah Tan Ah Meng, 46, bersama isterinya warganegara Taiwan, Chuang Siew Ling, 48 dan anak mereka, Tan Wei Chew, 19.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment