Monday, 27 January 2014

Padah tinggal 2 anak dalam kereta


Dua kanak-kanak berkenaan dikatakan ditinggalkan dalam Proton Wira (kiri), manakala sebelah kanan merupakan kereta yang dirempuhnya.


REMBAU – Tindakan seorang pemandu meninggalkan dua anaknya dalam kereta mengundang padah, apabila kenderaan itu bergerak dan merempuh sebuah kereta serta pemiliknya, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10.50 pagi itu di pekan Kota, dekat sini, dua kanak-kanak berusia lingkungan 2 hingga 4 tahun dikatakan ditinggalkan bapanya dalam kereta di sebuahpetak tempat meletak kereta dengan enjin kereta masih dihidupkan, dan salah seorang kanak-kanak terbabit sedang leka bermain di stereng.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba kereta itu bergerak ke hadapan sebelum merempuh sisi belakang sebuah kereta jenis sama milik seorang peniaga kuih di gerai berdekatan.

Rempuhan turut mengenai peniaga terbabit, Salimah Arshad, 63, yang ketika itu selesai berniaga dan sedang mengemas gerainya.

Akibat rempuhan itu, Salimah yang cedera dikejarkan ke Klinik 1Malaysia, di sini, sebelum dihantar ke Hospital Tampin untuk rawatanlanjut.

Menantu Salimah, Norliza Omar, 41, berkata, ketika kejadian, dia berada di gerai kuih dan terkejut mendengar bunyi hentaman kuat.

Menurutnya, dia segera memandang kereta yang merempuh itu dan melihat dua kanak-kanak berkenaan sedang memegang stereng. Norliza berkata, ketika kejadian, kereta ibu mertuanya diletakkan secara melintang untuk memasukkan khemah gerai ke dalam kereta.

"Ketika itu, ibu mertua saya baru saja mahu masuk ke tempat duduk pemandu.

Bayangkan, ibu mertua saya tercampak ke pagar. Mujur tak tercucuk pada pagar dawai.

Keretanya juga sudah kemek sedikit akibat rempuhan itu," katanya yang kesal dengan kecuaian pemandu kereta berkenaan meninggalkan anaknya sesuka hati dalam kereta tanpa pengawasan.

Sementara itu, seorang peniaga kedai runcit, Ziyauudeen Mansoor Sahib, 34, berkata, sebaik saja melihat mangsa sudah tercampak, mereka bergegas membantu menyelamatkannya.

"Saya membantu mengangkat mangsa. Mujur ada kakitangan Telekom Malaysia (TM) yang membantu membawa masuk mangsa ke dalam van syarikat untuk di hantar ke klinik," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, berdasarkan laporan dibuat, pemandu berusia 30-an itu mendakwa kejadian berlaku disebabkan dia tidak menekan brek tangan dengan sempurna.

"Bagaimanapun, polis akan buat siasatan menyeluruh berhubung kejadian ini," katanya.


Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment