Monday, 27 January 2014

Lana Nordin masih laku


Lana Nordin


Perjalanan seni wanita yang berasal dari Kuching, Sarawak ini tidak seindah seperti selebriti lain.

Mula menceburi bidang seni sekitar 2005 menerusi filem Gol & Gincu, bagaimanapun nama Lana Nordin hanya dikenali dengan kisah-kisah peribadi yang lebih diberi perhatian.

Namun wanita berusia 35 tahun ini, tidak pernah mengenal erti kalah. Biarpun ada sahaja cerita kontroversi silih berganti, Lana membuktikan, dia juga punyai bakat besar dalam bidang lakonan yang tidak boleh dipandang enteng.

Justeru, menerusi lakonan yang cukup berkesan dalam filem Chow Kit pada 2012, dia dicalonkan dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-25.


Bagaimanapun entah di mana silapnya, kisah peribadi wanita ini lebih di beri perhatian berbanding keberkesanan lakonannya di layar perak, mahupun di kaca televisyen.

Maka tidak hairanlah tahun lalu, nama Lana antara yang menjadi perhatian ramai. Bermula dengan gosip yang mengatakan dia ditangkap kerana tidak berpuasa, seterusnya Lana dikatakan artis bermulut jahat apabila sanggup melahar peminatnya di laman sosial, Instagram.

Bagaimanapun semua itu belum cukup menandingi kisah cintanya dengan Johan As'ari yang berakhir dalam tempoh tidak sampai sebulan. Dek kerana cinta yang tidak kesampaian itu jugalah, ramai peminat dan masyarakat simpati dengan nasibnya.

Namun bagi Lana sendiri, kisah cinta tersebut tidak sedikit pun meninggalkan kesan buatnya. Malah menganggap ia sebagai satu pengalaman yang cukup berharga.

"Saya tidak berdendam dan menganggap ini semua satu pengalaman. Apa yang berlaku satu pengalaman hidup cukup berharga,” ujarnya.

Tegas Lana, biarpun sudah tiada cinta lagi antara dia dan Johan, namun dia tetap akan mengotakan janjinya untuk berubah seperti yang diperkatakan sebelum ini.

"Memang sejak awal lagi, saya mahu berubah bukan kerana saya bercinta dengan Johan, tetapi ia memang niat dari hati saya. Namun biarlah ia berlaku secara perlahan-lahan," katanya.


Lana Nordin temui pengganti?

Bagaimanapun itu cerita akhir tahun lalu, dan nama Lana baru-baru ini sekali lagi menjadi perhatian ramai selepas dia memuat naik gambar sejambak bunga yang dikatakan diberi oleh seorang lelaki istimewa bergelar doktor.

Justeru timbul persoalan ramai, adakah Lana sudah menemui pengganti Johan?

“Siapa yang cakap saya ada pengganti baharu (ketawa)? Bagi saya sekarang pengganti baharu saya adalah kerjaya dan fokus sekarang ditumpukan terhadap kerja.

“Mengenai doktor itu, apa yang boleh saya katakan tak ada doktor yang beri bunga dan saya tak nak komen lebih mengenai perkara ini,” ujarnya.

Namun Lana tidak menafikan berkawan ramai dengan lelaki dan pengalaman baharu tidak menyebabkan dia menjadi serik. Bagaimanapun tegas Lana itu tidak bermakna dia bersedia mencari pengganti dalam masa terdekat ini.

“Kalau saya kata saya tak mahu bercinta dalam masa terdekat dan tiba-tiba saya bercinta nanti orang kata saya hipokrit pula.

“Lagipun soal hati ni kita tak tahu dan tak boleh jangka. Kalau tiba-tiba saya terbuka untuk kembali bercinta, siapa saya hendak menolaknya takdir itu," jelasnya mesra.

Menyentuh mengenai penerimaan keluarga selepas Johan mengambil keputusan untuk berpisah, Lana berkata : “Keluarga saya tidak ada masalah mengenai perkara itu.

“Lagipun dari pihak saya tidak ada apa-apa masalah. Keluarga saya juga memahami dan mempercayai saya. Mereka tahu saya boleh berdikari dan melalui semua ini,” ujarnya.


Rezeki makin murah

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terkininya, Lana berkata, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Kata Hati dan bakal menjalani penggambaran dua telefilem pada bulan depan.

“Alhamdulillah rezeki makin murah. Saya pun sibuk berlakon. Selain itu, saya juga turut menjadi model bagi produk kesihatan khusus buat lelaki iaitu ADAM.

“Buat masa ini jadual saya memang sibuk dengan penggambaran. Rezeki awal tahun dan saya harap karier saya akan terus berkembang dengan baik tahun ini,” katanya


Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment