KUALA LUMPUR: Operasi besar-besaran bagi memburu Pendatang Tanpa Izin (PATI) yang gagal mendaftar di bawah Program Khas Pengurusan PATI (PKPP) yang diadakan serentak di seluruh negara bermula Selasa malam, membuktikan kerajaan tidak lagi berkompromi berhubung isu pati.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata seramai 10 ribu penguatkuasa di bawah Kementerian Dalam Negeri menyertai operasi paling besar yang pernah dilakukan imigresen itu.
Selepas kerajaan memberi tempoh tiga bulan kepada majikan iaitu bermula 21 Oktober tahun lepas hingga 20 Januari 2014, untuk mendaftarkan pekerja mereka di bawah PKPP, kini tiba masanya kdn bertegas terhadap mereka yang enggan melakukannya.
Kerajaan berpendirian, PKPP tidak akan disambung kerana majikan telah diberi tempoh waktu yang panjang.
Ahmad Zahid berkata operasi tersebut akan diadakan berterusan dan mereka yang ditangkap akan dihantar pulang dalam masa tujuh hari bagi mengelak kesesakan di pusat tahanan serta mengurangkan kos perbelanjaan.
Selain 15 pusat tahanan imigresen di seluruh negara, kerajaan mewartakan beberapa tempat lagi untuk dijadikan pusat tahanan sementara. - ASTRO Awani
No comments:
Post a Comment