MELAKA: Ahli perniagaan Noor Jan Tuah yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Melaka hari ini dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan reman sejak 14 Januari lalu bagi membantu siasatan mengikut Akta Hasutan berhubung dakwaannya itu.
Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Shah Gzali Khan Shahadat berkata, Noor Jan dibebaskan selepas perintah tahanan reman ke atasnya tamat pada hari ini.
"Kes masih dalam siasatan terutama berkenaan dakwaannya mendapat surat pengesahan daripada ICJ (Mahkamah Keadilan Antarabangsa) yang kiuta perlukan kerjasama daripada Pejabat Peguam Negara untuk pastikan dakwaan itu benar atau tidak.
"Kita akan mohon bonmahkamah bagi memastikan beliau tidak menganjurkan majlis atau aktiviti berkaitan kesultanan sehingga siasatan ini selesai," katanya seperti dipetik oleh Bernama.
ICJ sebelum ini mengeluarkan satu kenyataan menafikan dakwaan Noor Jan itu dan menegaskan mahkamah tersebut tidak pernah mengeluarkan surat seperti yang didakwa.
Noor Jan, 57, ditahan pada 14 Januari di Jeti Anjung Batu, Serkam ketika hendak menaiki feri ke Pulau
Besar dipercayai bagi menghadiri satu upacara penyembelihan kambing sempena sambutan Maulidur Rasul.
Dia ditahan selepas polis menerima lapan laporan daripada pelbagai pihak yang tidak berpuas hati dan curiga dengan tindakannya yang berterusan mendakwa dirinya sebagai Sultan Melaka. Noor Jan membuat dakwaan itu sejak lapan tahun lalu.
Noor Jan pernah disiasat pada 2006 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Susulan penahanan itu, polis mendapat kebenaran mahkamah untuk menahan reman ahli perniagaan itu selama empat hari dan perintah itu disambung selama tiga hari lagi pada 18 Januari lepas.
Shah Gzali menjelaskan polis boleh memanggil Noor Jan pada bila-bila masa untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, peguam Surjan Singh Sidhu yang mewakili Noor Jan berkata anak guamnya dibebaskan tanpa sebarang syarat dan akan terus memberi kerjasama kepada polis bagi membantu siasatan.
Noor Jan dilihat keluar dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka pada pukul 12.50 tengahari selepas menyelesaikan urusan jaminan itu. - ASTRO Awani
No comments:
Post a Comment