Tuesday, 21 January 2014

Banjir menghasilkan 6,000 tan sampah setiap hari

Seorang buruh Indonesia sedang membersihkan sebuah sungai di Jakarta pada 8 Oktober, 2013. --FOTO AFP/ADEK BERRY


JAKARTA: Bencana banjir yang melanda sejumlah wilayah di ibu kota Indonesia, Jakarta sejak beberapa hari lalu menghasilkan sampah hingga 6,000 tan setiap hari.

Data daripada Jabatan Kebersihan Jakarta menunjukkan sampah yang dikutip itu terdiri antaranya tilam, kerusi, meja serta almari terpakai.

Ketua Jabatan Kebersihan Jakarta, Unu Nurdin berkata jumlah sampah yang diangkut oleh petugasnya di lapangan ketika banjir cenderung meningkat semasa hujan.

Setiap hari, jumlah sampah itu boleh mencecah sehingga 5,800 tan.

"Jumlah itu yang petugas kami angkut dari tempat pembuangan sampah masyarakat, pinggir jalan dan sejumlah pintu air yang ada di Jakarta. Jenisnya luar biasa, kerusi, almari sampai tilam," katanya seperti dipetik oleh Kompas.

Unu menjelaskan, sampah berupa barang-barang tersebut disebabkan kerana ada warga nakal yang memanfaatkan banjir untuk membuang barang terpakai.

Biasanya, jelas Unu, mereka membuangnya di aliran sungai agar cepat mengalir serta tidak terlalu membebani warga tersebut.

Beliau mengakui kesedaran masyarakat tentang kebersihan, terutama mereka yang tinggal di tebing sungai, sangat rendah biarpun sudah banyak program kebersihan dijalankan sejak lama.

Unu juga mengakui bahawa untuk mewujudkan kesedaran kebersihan memerlukan waktu yang lama.

"Seharusnya perlahan-lahan masyarakat sedar bahawa kalau buang sampah itu jangan di sungai. Saya hairan kenapa masih ada saja masyarakat yang membuang sampah di sana," lanjut Unu.

Menurut Unu, beliau telah mengerahkan lori sampah yang baru ke kawasan terlibat dan mengangkut sampah yang terlihat menumpuk, baik di pintu air atau tepi jalan. - Agencies 

No comments:

Post a Comment