Marsha
PERJALANAN Marsha Milan Londoh dalam industri seni, bukanlah semudah di pandang. Biarpun kerjayanya bermula selepas menyertai program realiti Akademi Fantasia, namun, banyak sepak terajang yang perlu dilalui oleh anak kelahiran negeri di bawah bayu ini sebelum bakatnya menjadi perhatian ramai.
Jika sebelum ini pelakon, pengacara dan penyanyi ini sering kali dikaitkan dengan kontroversi apabila tampil dengan gaya seksi menerusi muka depan majalah gaya hidup dan hiburan.
Sekali lagi turut dikaitkan dengan kontroversi kerana sanggup melakonkan adegan ‘panas’ bersama Wan Hanafi Su dalam filem Laga, arahan Ismail Yaacob untuk menaikkan kembali popularitinya.
Tidak kurang juga ramai yang berpendapat pelakon muda itu sanggup berbuat begitu kerana bukan beragama Islam dan tidak menjadi kesalahan kepadanya memberikan aksi seumpama itu.
Menyangkal perkara itu, menurut Marsha sekalipun dia bukan beragama Islam, namun dia sangat menghormati budaya timur dan ciri-ciri Melayu.
Malah, pelakon berketurunan Kadazan-Dusun ini tidak mahu kecaman dan tuduhan yang dilemparkan kepadanya disebabkan babak ranjang dalam filem yang menelan kos RM2.8 juta itu.
Mengakui setiap kontroversi itu sedikit sebanyak mematangkannya dalam menangani setiap isu yang menimpa dirinya, aktres kelahiran Borneo ini berharap semua peminatnya termasuk yang beragama Islam dapat menerimanya dan meminta orang ramai tidak melatah atau membuat andaian sendiri hanya disebabkan adegan tersebut.
Menurut Marsha, sejak menerima pelbagai komen negatif sebelum ini, dia mengamalkan sikap berhati-hati dan menjaga sensitiviti supaya tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak.
Malah, menerusi babak itu dia hanya menghidupkan watak dan menjalankan tanggungjawab sebagai pelakon.
"Sejak dari awal lagi saya sudah bersedia berdepan dengan segala kritikan sama ada positif mahupun negatif.
“Sebelum tayangan filem ini pun sudah ramai memberikan macam-macam komen, dan saya mengambilnya sebagai satu pandangan yang baik untuk terus memperbaiki lakonan saya.
“Yang pasti, peluang berlakon dan bekerjasama dengan aktor-aktor seperti Wan Hanafi Su, Datuk Rosyam Nor, Eman Manan sudah dianggap satu penghormatan kepada saya untuk meningkatkan kualiti lakonan dari semasa ke semasa,” katanya.
Sedia kongsi kisah peribadi
Tinggalkan mengenai kontroversinya, kini Marsha lebih terbuka untuk berkongsi cerita peribadi yang selalunya menjadi perhatian pelbagai pihak.
Jika sebelum ini, Marsha menyorokkan identiti kekasih Melayunya, kini dia tidak mempunyai masalah untuk berkongsi tentang hal peribadi serta apa juga aktiviti hariannya kepada umum menerusi sebuah rancangan realiti TV.
Malah, pelakon yang suka lelaki yang matang dan bersifat pelindung ini bakal bergelar Kim Kardashian Malaysia apabila bakal menjayakan sebuah program realiti yang hampir sama dengan versi terbitan Hollywood, Keeping Up with The Kardashians.
Menurut Marsha, program itu bakal diterbitkan oleh penerbit, Michael Ang.
“Michael Ang ada tawarkan pada saya untuk buat sebuah program seperti Kim Kardashian. Mungkin saya akan digandingkan bersama pelakon Sharifah Sakinah untuk menjayakan program realiti tu.
Bagaimanapun ia masih dalam perbincangan lagi," katanya.
Sebelum ini, Marsha mengakui bercinta dengan jejaka Melayu berusia dua tahun lebih muda daripada nya dan mengenali lelaki itu lebih kurang tujuh tahun lalu.
Bagaimanapun atas pengalaman lalu, dia tidak mahu mendedahkan identiti kekasihnya sehingga hubungan mereka melangkah ke fasa perkahwinan.
Fokus nyanyian
Berkongsi perkembangan terbaharunya , Marsha berkata, dia baharu saja muncul dengan single terbaru, Jujur Bilang Cinta yang juga hasil ciptaannya sepenuhnya.
Menurutnya, dia akan terus mempromosikan Jujur Bilang Cinta dan sebuah lagi singlenya yang berjudul Bebaskan.
"Walaupun banyak terlibat dalam lakonan, namun, nyanyian adalah merupakan prioriti utama saya.
“Saya tidak mahu mensia-siakan kebolehan bermain piano dengan menghasilkan lagu dan lirik sendiri. Ia merupakan satu bakat dan anugerah yang saya miliki," katanya yang juga sering menerima undangan menjayakan persembahan korporat.
Marsha berkata, mungkin ramai menganggap dirinya sudah tidak aktif dalam bidang nyanyian, namun, dia mempunyai strategi untuk kerjaya nyanyiannya.
“Saya sedang menghasilkan beberapa buah lagu untuk nyanyian sendiri dan akan memberikan kepada penyanyi lain yang berminat.
"Saya juga merakam lagu dengan Randy Pangalila baru-baru ini,” katanya yang sangat meminati dunia nyanyian.
Selain terlibat dalam filem animasi terbitan Walt Disney Studios bertajuk Frozen: Anna & Permaisuri Salji yang mana suaranya digunakan untuk watak Elsa, dia juga diberikan peluang keemasan untuk menyanyikan lagu tema filem itu dalam bahasa Melayu berjudul Bebaskan.
"Saya sangat gembira dan berbangga diberikan kepercayaan untuk menyanyikan lagu tersebut, kerana dalam versi Inggeris, lagu ini dinyanyikan oleh Demi Lovato berjudul Let It Go," katanya.
Sementara itu, selain Laga yang bakal ditayangkan pada 23 Januari 2014 nanti, tiga lagi filemnya bakal ditayangkan iaitu 7UJUH, Juanita dan Pak Pong.
Beralih bidang?
Tidak hanya fokus terhadap kerjaya seni, Marsha mengakui dalam perancangan untuk menceburi bidang perniagaan menghasilkan t-shirt bersama seorang teman baiknya.
Di mana t-shirt itu akan menampilkan variasi corak menarik tidak seperti t-shirt biasa yang dijual di pasaran.
Menurut Marsha, setiap corak yang dihasilkan adalah hasil idea perkongsian bersama dan rakan baiknya.
“Kalau tiada aral melintang, tahun depan rasanya perniagaan menjual t-shirt ini akan direalisasikan dan dijual secara online.
"Saya juga dalam perancangan untuk membuka sebuah kafe bersama keluarga di Sabah tidak lama lagi. Tunggu saja pembukaannya!," katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment