Saturday, 18 January 2014

Jennifer Lawrence mulut celupar?

Jennifer Lawrence mulut celupar?

POPULARITI yang dimiliki bintang cantik, Jennifer Lawrence nampaknya semakin melonjak, apatah lagi pemilik nama sebenar, Jennifer Shrader Lawrence, 24, ini baru sahaja menjulang trofi di Anugerah Golden Globes.

Menariknya, bintang filem American Hustle ini turut mengalahkan nama besar lain termasuk Meryl Streep dalam meraih gelaran Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem tersebut.

Kejayaan itu pastinya menjadi momen indah bagi Lawrence, namun pada masa yang sama, kelantangannya itu turut menimbulkan kontroversi.

Kata-kata Lawrence iaitu, "I beat Meryl" ketika menerima trofi kemenangan di pentas itu nyata memberi persepsi negatif masyarakat terhadapnya.

Malah, sebelum ini, tiada selebriti yang berani membandingkan diri mereka dengan Streep yang sememangnya hebat dan berpengalaman.

Enggan memanjangkan isu berkenaan, Lawrence memberitahu bahawa dia tidak berniat untuk merendahkan kredibiliti pelakon wanita itu.

"Sebenarnya, saya tidak berniat untuk memalukan Streep. Ungkapan itu diambil daripada sebahagian dialog filem, The First Wives Club yang dibintangi Goldie Hawn, Diane Keaton dan Bette Midler pada 1996.

"Dalam filem itu, Brenda (Midler) berkata pada Elise (Hawn): "Jika kamu sudah jadi pelakon hebat, kamu akan dapat Oscar sebagai buktinya."

"Bila Brenda berjaya, dia berkata: "I beat Meryl". Itu sahaja, tiada sebarang niat buruk," jelasnya.

Selain itu, Lawrence juga turut menyelitkan beberapa ucapan kepada keluarga dan teman terdekatnya.

"Saya berterima kasih kepada abang saya, Ben dan Blaine. Tanpa mereka, saya tidak akan berada di sini," katanya.



Bakal berkahwin?


Walaupun pernah mengakhiri hubungannya bersama Nicholas Hoult pada Januari tahun lalu, namun kini Lawrence kembali ke pangkuan kekasihnya itu.

Pernah menghabiskan masa libur bersama, Lawrence juga turut dibawa mendekati keluarga Hoult pada pertengahan tahun lalu.

Malah, ketika menghadiri anugerah berprestij itu, Lawrence turut ditemani Hoult. Ketika namanya diumumkan sebagai pemenang, Lawrence mendapatkan kekasihnya dan memberi ciuman.

Menurut Lawrence, hubungan yang terbina itu membuktikan bahawa dia dan Hoult masing-masing memerlukan antara satu sama lain.

"Kami pernah bersama tiga tahun lalu dan putus pada awal 2013. Namun, kami cuba memperbaiki hubungan itu kembali.

"Buat masa ini, kami sedang menikmati saat-saat indah bersama, namun masih tiada perbincangan untuk ke fasa yang seterusnya iaitu berkahwin.

"Cukuplah dengan kebahagiaan yang kami kecapi kini," katanya yang mula berkenalan ketika membintangi filem, X Men: First Class.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment