Kaka
MELIHAT perlakuan dan imej penyanyi ini akan terus mengingatkan kita kepada Ratu Rock tanah air, Ella. Mana tidaknya, umpama kuah tumpah ke nasi, Kaka merupakan anak kepada arwah abang Ella, Allahyarham Nor Azraff Aminuddin.
Disebabkan itulah, Kaka turut mewarisi bakat nyanyian hebat melalui ibu saudaranya itu.
Kaka yang kini sedang popular dengan lagu duetnya bersama Zizan Razak, Infiniti Cinta berkata, dia bagaimanapun mahu membina nama atas usaha sendiri dan tidak mahu dikatakan menumpang populariti Ella.
Berbeza dengan pembawaan muzik ibu saudaranya, Kaka mahu ketengahkan muzik pop, R&B dan Soul.
“Alhamdulillah, saya mewarisi bakat nyanyian daripada keluarga. Saya juga sangat suka menyanyi dan mahu orang mendengar corak nyanyian dan muzik pilihan saya sendiri,” katanya.
Selain menyimpan impian mahu bekerjasama dengan Datuk M Nasir dan Yuna, Kaka juga mahu meneruskan lagi kolaborasi dengan Zizan.
Baginya, Zizan banyak membantu dan memberi peluang untuknya mengetengahkan bakat. Malah percaturan duet pertama mereka menerusi lagu, Bawaku Pergi pada tahun 2011 mendapat sambutan hebat daripada peminat muzik meskipun tercetus sedikit kontroversi.
Pemilik nama Nor Atiqa Noor Azraff, 24, ini berkata, selepas dua lagu duet itu, dia bakal tampil dengan single solo pertamanya, Terpulanglah.
"Menerusi lagu ini saya mahu sesuatu yang menyerlahkan lagi vokal dan teknik nyanyiannya kepada R&B dan soul.
"Saya harap dengan kehadiran lagu ini peminat akan lebih tahu saya juga berkemampuan membawa nyanyian solo dan bukannya duet saja,” katanya.
Pernah membintangi teater sebelum ini, Kaka turut menyimpan hasrat bergelar pengacara suatu hari nanti.
“Saya mahu menjadi artis serba boleh. Saya yakin, peluang memperluaskan bakat masih terbuka, tambahan saya juga amat meminati dunia lakonan dan pengacaraan,” katanya yang mengakui ada menerima tawaran
mengacarakan sebuah program berbentuk travelog untuk sebuah stesen televisyen.
Ditanya mengenai kekasih hati, Kaka mengakui masih belum menemui calon yang sesuai.
“Buat masa sekarang, saya masih selesa berkawan dengan semua orang. Tapi kalau ditanya tentang lelaki idaman, tentulah saya mahukan seorang yang soleh dan mampu membimbing saya. Dia juga mestilah dapat menerima keluarga saya,” katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment