KEPADATAN dan kepesatan Seksyen 7 Shah Alam pada waktu malam sememangnya dapat dilihat dengan jelas.
Majoriti mereka yang tinggal di kawasan ini adalah pelajar samada daripada institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta. Jika anda melawati atau melalui restoran-restoran di kawasan ini, anda pasti akan ternampak penjualan shisha.
Sekali pandang anda pasti akan ternampak golongan muda bangsa kita menghisap shisha secara beramai-ramai di restoran yang memberikan penjualan shisha.
Isu mengenai menghisap shisha telah menjadi satu ikutan dan budaya yang semakin menular dalam kalangan golongan muda terutamanya mereka yang tinggal di kawasan bandar. Mereka mengatakan amalan menghisap shisha merupakan sesuatu yang moden dan boleh melepaskan tekanan di samping melepak bersama kawan-kawan.
Umumnya, masih ramai yang kurang jelas tentang shisha. Shisha turut dikenali sebagai ‘hookah’ dan merujuk kepada rasa tembakau yang dimasukkan ke dalam ‘waterpipe’ dan akan mengeluarkan asap.
Tembakau akan diletakkan dalam sebuah mangkuk dan akan diletak pada atas struktur paip. Shisha boleh didapati dalam pelbagai perisa. Antaranya ialah perisa epa, strawberi, pisang, ceri dan coklat.
Amalan menghisap shisha boleh memberikan pelbagai impak yang tidak sihat kepada pengamalnya. Banyak bukti saintifik yang mampu menunjukkan betapa bahayanya shisha. Berdasarkan satu kajian oleh Pusat Kawalan Tembakau dari Britain mendapati shisha jauh lebih bahaya berbanding rokok.
Hal ini demikian kerana kandungan tembakau yang terdapat dalam shisha mengandungi jumlah karbon monoksida empat hingga lima kali ganda lebih tinggi berbanding rokok tembakau. Jika seseorang itu menyedut gas karbon monoksida yang banyak, badan mereka akan mendapat ketoksinan yang ketara dan mudah mendapat penyakit jantung.
Selain itu, wap panas yang disedut boleh memusnahkan cilia (bahagian yang menyeliputi luaran kulit seperti rerambut) dan akan mengakibatkan kerosakan pada paru-paru. Situasi ini akan membawa kepada penyakit kronik seperti kanser paru-paru atau kerosakan koronari jantung.
Amalan menghisap shisha juga akan memberikan kesan yang buruk kepada wanita yang sedang mengandung. Mereka akan melahirkan bayi yang kurang berat.
Bukan setakat itu saja, malah tabiat menghisap shisha turut membolehkan pengamalnya mudah dijangkiti penyakit yang berjangkit. Contohnya hepatitis, tibi, hepes dan HIV. Ini kerana terjadinya perkongsian paip yang digunakan secara beramai-ramai.
Timbul spekulasi yang mengatakan adakah amalan menghisap shisha haram ataupun tidak. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud; “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.”
Ini jelas menunjukkan bahawa ALLAH SWT mengekang umatnya daripada menghancurkan diri mereka.
Oleh yang demikian, amalan menghisap shisha dikategorikan sebagai haram disisi Islam malah Muzakarah khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam telah memutuskan bahawa shisha adalah haram.
Bukan itu saja, malah mereka juga melarang umat Islam daripada terbabit dalam sebarang aktiviti yang melibatkan shisha.
Sebagai kesimpulan, sudah tidak dapat dinafikan lagi bahawa amalan menghisap shisha member kesan yang buruk. Jesteru, wajiblah kita sebagai umat Islam menjauhi amalan yang tidak sihat ini supaya kita dapat membentuk dan melahirkan generasi yang sihat lagi produktif dalam membangunkan negara. Insya-ALLAH.
Mohd Eqbal Rafsanzani B. Liman
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) UITM Shah Alam.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment