Kawalan penggunaan internet di kalangan anak-anak bukanlah satu cabaran yang tidak dapat diatasi oleh ibubapa masa kini kata Eksekutif Kanan, Penyelidik, dan Kandungan Cybersecurity Malaysia, Aaron Mokhtar kepada Astro AWANI.
Menurutnya tiada masalah sekiranya anak-anak didedahkan dengan penggunaan internet sedari awal lagi, asalkan ianya berbentuk pendidikan.
“Tiada masalah untuk pendedahan yang berbentuk pendidikan, namun apa yang penting tauladan yang ditunjukkan oleh ibubapa” katanya.
Ketua Unit Komunikasi dan Tanggungjawab Korporat DIGI, Joakim Rajaram berkata penggunaan internet kini telah berkembang dengan pesat di negara-negara membangun terutamanya di kalangan kanak-kanak.
“Dengan penggunaan internet yang meluas kini, syarikat teknologi memilih untuk menggunakan langkah mengawal dari mengongkong terus akses internet di negara ini” ujarnya.
Selain itu Aaron turut menasihatkan ibubapa untuk memberikan penekanan terhadap kawalan akses internet terutamanya dari segi kawalan jumlah masa dalam menggunakan internet ke atas anak-anak mereka.
“Ibubapa perlu memahami bahawa bukan masa sahaja yang perlu dikawal tapi apa yang anak-anak layari ketika menggunakan internet dan komputer” katanya.
Aaron juga memperkenalkan talian bantuan 999 atau email terus kepada http://www.cybersecurity.my khusus untuk ibubapa yang memerlukan bantuan dalam hal mengawal penggunaan internet anak-anak.
Pandangan diberikan semasa menjadi tetamu dalam Buletin Awani 7:45 pada Jumaat yang membincangkan sejauh mana kurangnya pemantauan penggunaan internet di kalangan anak-anak.
Sumber: ASTRO Awani
No comments:
Post a Comment