Ramanair menunjukkan tangki septik yang dibina kontraktor depan pintu utama kediamannya.
KUALA KURAU - Seorang penduduk di Kampung Tok Ngah, di sini, terkilan apabila dua tangki septik rumah bantuan kerajaan bersebelahan dibina terlalu hampir dengan pintu utama kediamannya.
A Ramanair, 44, berkata, pihak bertanggungjawab digesa mengubah kedudukan tangki septik terbabit ke lokasi lebih sesuai.
“Saya terkejut apabila tangki septik dua daripada empat rumah yang sedang dibina itu tidak mengambil kira keselesaan kami sekeluarga.
“Saya hairan tangki septik itu tidak dibina pada paras bawah tanah dan khuatir ia boleh keluarkan bau busuk, ancaman lalat serta penyakit pada masa depan,” katanya pada Sinar Harian, di rumahnya di Kampung Tok Ngah, di sini, semalam.
Difahamkan, empat rumah terbabit adalah rumah bantuan untuk tiga keluarga mangsa kebakaran di kampung itu, lima tahun lalu.
Lebih malang, Ramanair mendakwa, jalan keluar masuk ke rumahnya akan ditutup bagi memberi laluan bagi penyediaan sistem saliran untuk empat rumah bantuan kerajaan terbabit.
Dalam pada itu menurutnya, barang binaan membina sistem saliran yang diletakkan mengganggu jalan rezab keluar masuk rumahnya selain menghalang aliran air.
"Gelung, pasir dan tanah yang diletakkan untuk membina sistem saliran menyekat aliran air ke parit berdekatan dan menyebabkan air bertakung depan rumah.
"Air bertakung ini bukan sahaja menyebabkan kami tidak selesa, malah jadi tempat pembiakan nyamuk yang boleh membawa demam denggi," katanya.
Berikutan masalah itu, Ramanair membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, 12 November lalu.
Sementara itu, Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari yang meninjau lokasi itu menggesa agensi bertanggungjawab meneliti semula pelaksanaan projek pembinaan rumah bantuan kerajaan yang dibina bersebelahan kediaman pengadu.
"Tindakan membina tangki septik depan kediaman penduduk bukan sahaja tidak wajar, malah menjadi pertikaian sama ada pelaksanaan projek berpandukan pelan pembinaan diluluskan atau tidak.
“Selain itu, saya berharap pihak bertanggungjawab dapat memastikan laluan rizab ke kediaman pengadu terbabit tidak dihalang bagi mengelakkan kesukaran kepadanya,” katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment