Sunday, 17 November 2013

'Cuba tunjuk hebat depan kawan'

'Cuba tunjuk hebat depan kawan'
Remaja menunjukkan aksi merbahaya ketika memandu di jalan raya.


KULIM - Aktiviti lumba haram masa kini semakin membimbangkan kerana diadakan di sekitar kawasan taman perumahan.

Selain laluan lebuhraya Butterworth Kulim Ekspress (BKE), kini jalan Kilang lama, Taman Mutiara, Sungai Ular dan Padang Serai pula menjadi tempat mereka beraksi.

Kegilaan golongan muda ini semakin memuncak apabila cuti sekolah bermula kerana sehingga kini, lebih 30 kes kemalangan maut dilaporkan berlaku di seluruh Kulim dan penunggang motosikal merupakan mangsa yang paling ramai terlibat dan berusia di bawah 18 tahun.

Ketua AMK Padang Serai, Hadzim Salimin berkata, lumba haram ini merupakan satu penyakit masyarakat yang seharusnya ditangani oleh semua pihak dan bukan sahaja dipertanggungjawabkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) semata-mata.

Menurutnya, pihak penganjur sebelum ini menyediakan litar di Sidam bagi sukan motosikal lasak bagaimanapun ia tidak dapat menarik minat golongan itu untuk menyertainya.

“Sebelum ini, pelbagai cara dilakukan untuk menarik minat remaja serta belia supaya tidak terlibat dengan lumba haram bagaimanapun ia tetap berlaku. Saya lihat sendiri ratusan motosikal akan berkumpul di BKE dan berlumba. Ada kalanya mereka yang berlumba ini terlibat dalam kemalangan maut. Apa yang menyedihkan, mereka akan meninggalkan rakan yang terbunuh ini semata-mata tidak mahu bertanggungjawab sekiranya ditahan polis.

"Saya merasakan remaja hari ini cuba menunjukkan kehebatan mereka di hadapan kawan-kawan tanpa disedari perbuatan mereka itu membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain. Ibu bapa seharusnya memainkan peranan untuk memastikan motosikal mereka tidak digunakan oleh anak-anak. Apabila terlibat dalam kemalangan maut, mulalah waris menuding jari pada orang lain,” katanya.

Menurutnya, cara terbaik untuk mengatasi masalah lumba haram adalah dengan mengehadkan penjualan motosikal kepada mereka yang hanya memiliki lesen memandu yang sah sahaja.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment