Wednesday, 4 September 2013

Pelajar cedera parah jatuh bangunan

Pelajar cedera parah jatuh bangunan
Mangsa sedang mendapatkan rawatan di HTAA


KUANTAN - Seorang pelajar perempuan tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Sira di sini parah selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah itu, tengah hari, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari.

Menurutnya, mangsa yang berusia 13 tahun patah di kedua-dua pergelangan kaki dan tangannya kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

“Mangsa dibawa ke hospital oleh pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang tiba kira-kira 10 minit selepas dihubungi.

“Siasatan awal mendapati pelajar terbabit cuba untuk terjun bangunan itu berdasarkan nota tulisan tangan yang ditulis di tapak tangan kirinya.

”Bagaimanapun polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung motif kejadian pelajar terbabit bertindak sedemikian,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, pelajar terbabit dalam keadaan stabil namun polis kini memantau keadaannya dan akan mengambil keterangan selepas keadaan kesihatannya mengizinkan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Rosdi Ismail ketika dihubungi berkata, punca remaja itu berbuat demikian masih disiasat dan pihak pengurusan sekolah sudah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Pada 23 Mei lalu, seorang pelajar tingkatan tiga sekolah yang sama maut selepas terjatuh dari tingkat tiga.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa, Syamil Ismail, 15 mengalami cedera parah akibat hentakan kuat dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.


Sumber: Sinar Harian, Sept 4, 2013

No comments:

Post a Comment