KUALA LUMPUR - Dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan memperdagangkan 31 wanita warga Indonesia untuk diekspolitasi melakukan kerja secara paksa sebagai pembantu rumah, empat tahun lepas.
Sim Whye Hong, 32, dan kakaknya Sim Yee Sie, 34, masing-masing pemilik dan penyelia sebuah syarikat agensi pekerja asing, didakwa secara bersama-sama memperdagangkan kesemua wanita berumur antara 21 dan 59 tahun itu bagi maksud eksploitasi kerja paksa.
Mereka didakwa melakukan 31 pertuduhan itu di lima lokasi berbeza di sini termasuk 15 di sebuah pusat kecantikan di Kuchai Entrepreneurs Park off Jalan Kuchai Lama, Brickfields, antara Ogos 2009 hingga 19 Ogos lepas.
Tujuh pertuduhan didakwa dilakukan di satu alamat di Jalan 4/36, Bukit Sri Bintang, Kepong manakala tujuh lagi di sebuah spa di Desa Aman Puri, Kepong.
Sementara itu, dua lagi pertuduhan didakwa dilakukan masing-masing di Pejabat Kedutaan Besar Republik Indonesia, Jalan Tun Razak, dan di Taman Seri Gombak.
Kesemua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suzanne Tiyon Bimen memohon mahkamah mengenakan jaminan yang tinggi berserta syarat tambahan terhadap kedua-dua tertuduh.
Peguam Goh Kim Lian, yang mewakili kedua-dua tertuduh, memohon anak guamnya dibenarkan diikat jamin kerana Whye Hong menanggung ibu yang tua serta seorang anak lelaki berusia 16 tahun manakala Yee Sie, seorang ibu tunggal, menanggung anak lelaki berusia 13 tahun.
Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM310,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan memerintahkan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah turut memerintahkan mereka melapor diri di balai polis berhampiran pada minggu pertama setiap bulan dan menetapkan 2 Okt untuk sebutan. -- BERNAMA, Sept 4.
No comments:
Post a Comment