Dua daripada empat suspek yang ditahan polis, adalah sepasang suami isteri yang berasal dari Perak. - Foto PDRM
KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri antara empat individu disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas militan Daish (IS), ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu operasi khas sekitar Selangor dan Kuala Lumpur antara 11 dan 15 Januari 2016.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan tiga daripada suspek yang ditangkap telah ditahan pihak berkuasa Turki semasa dalam perjalanan menyusup masuk ke Syria.
Sementara seorang lagi suspek ditahan, dipercayai merancang untuk melancarkan serangan di Malaysia.
Menurut Khalid, kesemua suspek adalah rakyat Malaysia berusia antara 23 hingga 28 tahun.
"Dua daripada mereka adalah sepasang suami isteri yang berasal dari Perak, manakala dua lagi suspek berasal dari Terengganu, yang masing-masing bekerja sebagai jurutera dan penjual insurans," jelas Khalid dalam satu kenyataan itu.
Tambahnya, tiga suspek berkenaan ditahan di Gaziantep, Turki pada 15 November 2015 oleh pihak berkuasa negara itu ketika menyelusup masuk ke Syria bagi menyertai kumpulan Daish.
Kesemua mereka dihantar pulang ke Malaysia pada 11 Januari 2016 dan ditangkap sebaik tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
"Kesemua mereka direkrut oleh Muhammad Wanndy bin Mohamed Jedi @ Abu Hamzah, menyertai Daish di Syria melalui Facebook dan aplikasi Telegram.
Muhammad Wanndy juga bertanggungjawab dalam merancang penyusupan masuk ketiga-tiga suspek ke Syria," kata Khalid lagi.
Suspek mengaku telah merancang untuk melancarkan serangan bunuh diri di Malaysia selepas menerima arahan dari anggota Daish warga asing di Syria.
"Suspek merupakan individu yang bertanggungjawab menggantung bendera IS di beberapa lokasi di sekitar Terengganu, Perak, Selangor dan Johor, bagi memberi peringatan kepada kerajaan Malaysia supaya menghentikan operasi penangkapan ke atas anasir-anasir IS di Malaysia," jelas Khalid.
Kesemua mereka ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan keganasan, Akta 574 Kanun Keseksaan dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747).
- Sumber: Astro Awani | Januari 16, 2016
No comments:
Post a Comment