Friday, 22 May 2015

Terkini: Kapal korek karam ditunda ke Tanjung Punggai



APMM menggunakan khidmat sebuah kapal tunda milik Jabatan Laut untuk melakukan kerja pengalihan kapal itu pada 11 pagi Khamis.

JOHOR BAHRU: Kapal korek yang karam di perairan Pengerang pada Rabu, ditunda ke lokasi pada kedudukan 1.2 batu nautika dari darat Tanjung Punggai, Kota Tinggi di sini Khamis malam.

Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Tanjung Sedili Komander Maritim Mustafa Kamal Abas berkata operasi pengalihan mengambil masa kira-kira lapan jam iaitu selesai pada 8 malam Khamis.

"Pada masa ini, kami tidak pasti sama ada operasi akan diteruskan untuk menyelam ke kapal berkenaan ataupun sebaliknya.

"Apa-apa maklumat akan kami beritahu kelak," kata beliau ketika yang dihubungi di sini sebentar tadi.

APMM menggunakan khidmat sebuah kapal tunda milik Jabatan Laut untuk melakukan kerja pengalihan kapal itu pada 11 pagi Khamis.

Seramai 10 penyelam dari Tentera Laut Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia turut siap siaga bagi melaksanakan tugas mencari dan menyelamat mangsa di dalam kapal, sejurus ia berjaya ditunda.

Di SINGAPURA, Pihak Berkuasa Pelabuhan Maritim (MPA) dalam kenyataan hari ini berkata kapal pengorek pasir Oceanline SC208 yang terbalik dan hanyut ke perairan Malaysia, telah ditunda ke kawasan terlindung di wilayah Malaysia pagi ini.

MPA Singapura berkata 14 anak kapal berkenaan - 13 rakyat China dan seorang rakyat Malaysia - masih belum ditemui.

Katanya, beberapa kapal MPA, Tentera Laut Republik Singapura dan Pengawal Pantai Singapura meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di perairan negara itu.

Menurut kenyataan itu, MPA juga menghubungi kapal dagang yang melalui perairan berkenaan supaya membantu mengesan mereka yang masih hilang dan melaporkan sebarang penemuan kepada Pusat Penyelarasan Menyelamat Maritim di republik itu.

Pada Rabu, MPA menerima laporan bahawa kapal berdaftar di Bolivia itu terbalik 7.5 batu nautika di timur laut Pulau Batu Puteh di perairan Singapura.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment