RAMAI yang menyangka aktor hebat Sharnaaz Ahmad kini menjalinkan hubungan percintaan bersama seorang gadis yang dikenali sebagai Anis Al-Idrus.
Sangkaan itu menjadi lebih kuat apabila kedua mereka juga sering kali dilihat bersama menghadiri acara hiburan dan sebagainya.
Namun berbeza dengan kenyataan empunya diri yang enggan mengakui situasi itu malah ke duanya lebih selesa melabelkan hubungan mereka sebagai teman tapi mesra.
“Anis adalah teman yang selalu ada di belakang saya. Dia banyak memberi sokongan dan pertolongan sepanjang saya menjalani karier.
“Buat masa ini tidak ada apa yang perlu saya gembar-gemburkan kerana soal masa depan dan jodoh semua bergantung kepada ketentuan-Nya.
“Kami masing-masing ada keluarga yang perlu dijaga hatinya. Cukuplah dulu saya telah menconteng arang ke muka ibu bapa saya, jadi kali ini biarlah saya utamakan mereka dahulu,” jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk kesihatan ‘Biogenesis Collagen’ di Ruang, Shah Alam, kelmarin di mana Anis tampil sebagai pengacara serta pengguna setia produk tersebut.
Tidak mahu terburu-buru dalam soal jodoh, Sharnaaz meletakkan pengalaman lalu sebagai perkara yang mematangkan dirinya dalam membuat keputusan.
“Sebagai seorang lelaki yang semakin hari semakin meningkat usia, sudah tentu saya juga ada keinginan untuk memiliki seorang isteri dan zuriat.
“Insya-Allah, jika sudah sampai masanya, saya akan melalui semua itu. Bukannya terlalu berhati-hati, tapi apa yang berlaku sebelum ini banyak mematangkan diri saya,” katanya.
Sementara itu, respons yang sama turut diberikan oleh Anis sendiri yang melihat Sharnaaz sebagai teman di masa susah dan senangnya.
“Biarpun ramai yang mengatakan perkara yang tidak baik terhadapnya, tapi bagi saya dia seorang teman yang baik.
“Selama ini kami memang tidak pernah memberi kenyataan mengatakan kami bercinta tapi hanyalah berkawan,” katanya ringkas.
Produk ‘Biogenesis Collagen’ adalah merupakan minuman kesihatan yang menjadikan kulit bertambah cerah, tegang dan anjal di mana ia juga sesuai diambil oleh lelaki dan wanita.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment