Friday, 22 May 2015

Faralyna: Saya rasa lebih selesa bila bertudung


SEJAK kebelakangan ini, pelakon cantik, Faralyna Idris, dilihat sering memuat naik foto-foto yang lebih sopan dan bertudung di laman sosial, Instagram (IG) miliknya.

Mengakui keputusan untuk berhijab itu sudah lama difikirkannya, pelakon drama bersiri, Kisah Kaisara 2 ini memberitahu bahawa sudah sampai masanya untuk dia melakukan perubahan seperti yang dituntut dalam agama Islam.

"Sebenarnya, saya membuat keputusan nekad untuk bertudung setelah saya disahkan hamil. Sebelum ini, saya pernah meletakkan hasrat untuk bertudung selepas bertunang, namun ketika itu iman masih tidak kuat.

"Apabila saya berkahwin dan disahkan hamil, saya merasakan sudah tiba masanya untuk saya berubah. Lagipun, ia adalah tuntutan agama. Alhamdulillah, sudah empat bulan saya kekal berhijab dan sejujurnya saya selesa dengan penampilan ini.

"Keputusan untuk bertudung ini bukanlah dari paksaan sesiapa termasuk suami kerana ia datang daripada hati saya sendiri. Malah, ketika hari pertama saya bertudung, suami seakan terpaku. Masuk hari kedua dan ketiga barulah dia tegur imej saya dan menyokong saya untuk terus istiqamah," katanya yang bergelar isteri kepada Muhammad Fikri Abdullah, pada Disember 2014.

Turut berkongsi perihal kehamilannya, Faralyna memberitahu bahawa dia tidak berdepan dengan apa-apa alahan di sepanjang empat bulan kandungan.

"Alhamdulillah, saya tidak mengalami alahan mahupun sakit yang teruk. Semuanya berjalan dengan lancar sehingga kini. Cuma beberapa hari lepas, saya demam dan batuk sahaja," jelasnya.

Tambah Faralyna, dia memilih untuk berehat panjang di sepanjang kehamilan ini dan terpaksa menolak beberapa tawaran yang diterimanya.

"Selepas berkahwin, memang saya belum menerima apa-apa tawaran lagi kerana pada masa itu, saya fikir nak rehat. Namun, bila disahkan hamil, kira cuti panjang teruslah.

"Ada tawaran yang diterima terpaksa saya tolak kerana watak. Kebanyakan watak yang saya terima adalah kena pukul dan kena dera. Setelah memikirkan keadaan saya yang hamil, saya tak bersedia untuk lakukan karakter yang begitu.

"Lagipun, suami tidak memaksa untuk saya bekerja. Jadi, saya memilih untuk berehat dan menjaga kandungan sewajarnya," katanya yang turut membintangi drama bersiri, Putri Bukan Nama Sebenar, yang sedang ditayangkan di saluran TV3.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment