Wednesday, 13 May 2015

Suspek tembak mekanik masih di Sabah


KOTA KINABALU - Suspek yang menghilangkan diri selepas menembak seorang pembantu mekanik di sebuah bengkel membaiki penyaman udara kenderaan di Jalan Tuaran pada 6 Mei lalu dipercayai masih berada negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata suspek dipercayai sedang bersembunyi dan usaha memburunya sedang dijalankan.

"Polis percaya suspek masih berada di Sabah dan polis akan terus mencari suspek berkenaan," katanya kepada pemberita.

Dalam kejadian itu, suspek berumur 43 tahun dari di Shah Alam, Selangor melepaskan tiga das tembakan yang satu daripadanya menembusi betis kanan mangsa yang berumur 36 tahun.

Mengulas mengenai beberapa kes rompakan bersenjata di pantai timur Sabah, beliau berkata pihak polis sedang meneliti beberapa maklumat tentang suspek yang terlibat dan kaitannya dengan orang tempatan.

"Kita menerima beberapa maklumat tentang suspek yang terlibat dan usaha memburu mereka masih diteruskan," kata Jalaluddin. 

Beliau juga berkata pihaknya sedang mengkaji keberkesanan perintah berkurung yang dijalankan di enam buah daerah di pantai timur Sabah sejak tahun lalu di perairan Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. 

Jalaluddin melancarkan penyerahan motosikal Kawasaki Ninja kepada Skuad Polis Aman Wanita (Amanita) dan Unit Ronda Bermotor (URB) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Kepayan di sini hari ini.

Beliau berkata masing-masing 17 buah motosikal adalah untuk Balai Polis Luyang dan Tanjung Aru sementara 21 buah untuk Amanita di setiap daerah. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment