Wednesday, 13 May 2015

Nurul Izzah: 'Gajah bergaduh, PR yang untung'


Nurul Izzah Anwar

PETALING JAYA - ‎ Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dalam nada sinis berkata, beliau hanya ingin menikmati 'pertarungan' di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, pertarungan itu sedikit sebanyak memberi keuntungan kepada Pakatan Rakyat.

"Itu konsisten dengan pendirian dia (Mahathir) selama ini, setiap kali dia menyerang mana-mana PM, saya fikir tak perlu kita komen panjang.

"Apabila gajah-gajah bertarung, saya biarkanlah mereka teruskan, mungkin saya boleh beli popcorn (bertih jagung) dan makan.

"Kerana sedikit sebanyak ia memudahkan pakatan untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat kerana sudah ada orang yang tolong sampaikan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR, hari ini.

Mengulas lanjut Izzah berkata, PR komited untuk terus memperjuangkan nasib rakyat, dan akan berusaha menyiapkan dasar baharu bagi 'menyelamatkan Malaysia'.

"Tetapi isunya adalah biarlah PR menyiapkan dasar dan langkah-langkah seterusnya bagi menyelamatkan Malaysia," katanya.

Tambah Izzah, isu pertukaran Perdana Menteri tetap tidak akan menyelesaikan masalah sedia ada.

‎"Kita telah lalui saat-saat di masa Tun Abdullah Ahmad Badawi jadi PM. Ketika itu semua orang teruja dan beliau menang PRU dengan majoriti yang besar namun kita masih menghadapi banyak masalah.

"Jadi kita kena melakukan perubahan struktur secepat mungkin (tukar pentadbiran).

"Makanya isu reformasi dasar itu tidak boleh lari dan saya fikir apa pun kita selama ini amat konsisten dengan pendirian bertanding dalam pilihanraya, iaitu menukar kerajaan menerusi pilihan raya," katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment